Ahli Parlimen Batu, Chua Tian
Chang mengulangi pendiriannya untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekiranya Datuk Seri Anwar
Ibrahim dipenjarakan sekali lagi.
Beliau yakin majoriti rakyat Malaysia akan turut sama memberikan tentangan serupa seperti reformasi pada 1998.
“Pada 14 April lalu, saya ditahan polis dan telefon bimbit saya
dirampas kerana kononnya saya terlibat dalam aktiviti menghasut rakyat
untuk menjatuhkan Najib sebagai perdana menteri.
“Saya ingin ulangi pendirian saya sekali lagi. Saya yakin majoriti
rakyat akan bersama saya. Kalau berani perdana menteri Najib penjarakan
Anwar, kita akan bangkit, jatuhkan Najib,” katanya di hadapan kira-kira
1,500 hadirin dalam himpunan Reformasi 2.0 di Kuala Lumpur, malam tadi.
Chua yang juga lebih dikenali sebagai Tian Chua menulis di Twitter
@tianchua pada bulan lalu Najib akan digulingkan dalam tempoh lima
bulan.
Susulan daripada tulisan itu, polis merampas tablet dan telefon bimbit
milik Chua ketika beliau sedang menyertai satu mesyuarat di Hotel
Armada, Petaling Jaya.
Katanya, operasi pada jam 7.30 petang itu dijalankan di hadapan umum
oleh sepasukan polis berpakaian preman yang membawa waran geledah.
Chua berkata, pada zaman pemerintahan mantan perdana menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad, rakyat membuktikannya sendiri dan sejarah itu perlu
diingati.
“Kita pernah menunjukkan rekod kita. Saya disumbat di dalam (Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA), di Kamunting selama dua tahun tetapi
Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), gas pemedih mata, kekerasan dan
penindasan tidak akan dapat menahan kebangkitan rakyat.
“Dengan kebangkitan rakyat ini, Dr Mahathir juga tumbang dan inilah
hakikat yang kita ingin ingati. Kita akan pertahan dan bangkitkan untuk
jatuhkan Najib kalau berani penjarakan Anwar,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli memberi gesaan sama anak muda akan bangkit menentang kezaliman.
Katanya, himpunan menentang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1
Mei ini bakal menjadi saksi gelombang kebangkitan anak muda.
“Amaran saya kepada Najib dan Mahathir. Kalau kamu berani penjarakan
Anwar sekali lagi, percayalah cakap saya bukan seratus, bukan seribu,
berpuluh-puluh ribu anak muda akan lawan sampai Umno tumbang.
“Bersiap sedia tunggu arahan. 1 Mei kita jumpa di jalan raya. Bila-bila
masa, mereka berani penjarakan Anwar, kita turun ramai-ramai tumbangkan
Umno dan Barisan Nasional (BN). Insya Allah,” katanya.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengumumkan awal bulan ini, Pakatan
Rakyat (PR) akan turut serta dalam himpunan membantah GST 1 Mei ini
dan memberi sokongan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang
menganjurkannya.
Katanya, ratusan ribu orang akan menyertai himpunan kemuncak ini
setelah rakyat saban hari terus dibebani dengan kenaikan harga barang
berterusan dengan GST yang akan diperkenalkan pada tahun depan.
"Himpunan ini akan berlangsung di sekitar Kuala Lumpur antara jam 2
hingga 5 petang dan kemudian bergerak ke Dataran Merdeka," katanya. –
21 April, 2014. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment