Kerja
menaik taraf bernilai RM45 juta bagi Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah
digagalkan oleh jalan berlubang di landasan lanjutan, menghalang
pesawat seperti seperti Airbus A320 dan Boeing 737-400 mendarat di ibu
kota Perak.
Jawatankuasa Kira- Kira Wang Perak (PAC) sedang menyiasat perkara ini
tetapi belum diketahui apa akan dilakukan kerajaan negeri selepas
Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengisytiharkan landasan sepanjang 2,000
meter tidak selamat untuk pesawat lebih besar kerana terdapat jalan
berlubang di landasan yang dipanjangkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kepayang merangkap Pengerusi DAP
Perak Nga Kor Ming mengatakan landasan dipanjangkan dari 1,780 meter ke
2,000 meter untuk menampung pesawat lebih besar dari Singapura, Medan
dan Hong Kong, namun hanya pesawat Firefly, anak syarikat Malaysia
Airlines yang menggunakan laluan Ipoh-Singapura setiap hari dengan
pesawat kipas turbo ATR 72.
“Kontraktor, arkitek dan jurutera yang terlibat dalam pembinaan dan
memanjangkan landasan akan dipanggil,” kata Nga kepada The Malaysian
Insider.
Beliau enggan mengulas lanjut kerana merupakan salah seorang anggota PAC yang menyiasat kes tersebut.
Lapangan terbang itu sebelum ini digunakan untuk menampung penerbangan
setiap pagi di antara bandar perlombongan bijih timah itu dan Subang
bagi mereka yang mengambil penerbangan sambungan terutamanya ke Hong
Kong.
Akan tetapi Lebuhraya Utara-Selatan memudahkan akses antara Ipoh dan
bandar-bandar lain dan menyebabkan penerbangan ke ibu negeri Perak itu
berkurangan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, lapangan
terbang diubahsuai bagi membawa masuk pelancong asing kerana Perak
mempunyai potensi untuk memajukan lagi sektor pelancongan.
Bagaimanapun, sumber memberitahu The Malaysian Insider terdapat
sembilan jalan berlubang di landasan lanjutan sehingga memaksa DCA
mengisytiharkan pada Disember lalu pendaratan dan perlepasan tidak
selamat di landasan tersebut.
Sumber memberitahu, PAC sedang melihat apakah terdapat elemen rasuah dan apakah prosedur diikuti dalam kerja menaik taraf itu.
"Apakah ada ujian tanah dijalankan kerana jalan berlubang adalah kejadian yang biasa berlaku di Ipoh," kata sumber itu.
Kerja menaik taraf bangunan terminal termasuk pembinaan sebuah bumbung
baru dan permukaan hadapan bangunan, manakala dewan ketibaan dan
perlepasan diperbesarkan dengan kemudahan berhawa dingin sepenuhnya
untuk meningkatkan tahap keselesaan penumpang.
Selain itu, apron diperluaskan untuk menampung tiga pesawat pada masa yang sama.
Sementara itu, Nga berkata cita-cita Zambry untuk membangunkan Perak
hanya akan menjadi angan-angan tanpa lapangan terbang beroperasi secara
optimum.
"Pembangunan di negeri ini akan terbantut jika infrastruktur seperti komunikasi tidak diperbaiki,” katanya.
Nga yang juga ahli Parlimen Taiping mengatakan ini sebagai respons
kepada jangkaan Zambry akan terdapat 1.4 juta pelancong ke Perak pada
tahun pertama selepas Million Movie Animation Park Studios (MAPS)
beroperasi pada 2016.
Nga mengatakan jangkaan Zambry adalah fiksyen dan tidak realistik kerana Perak tidak mempunyai lapangan terbang antarabangsa.
Perak Corporation Berhad mengumumkan minggu lepas pembinaan MAPS
bernilai RM300 di Meru, Ipoh yang dijangka siap pada Disember tahun
depan.
Beliau berkata lapangan terbang antarabangsa yang terdekat dari MAPS
adalah di Pulau Pinang, iaitu kira-kira 150km dan Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur yang sejauh 250km dari situ.
"Bagaimana MAPS mampu menarik pelancong asing apabila tiada Lapangan Terbang di Ipoh," soal Nga.
Nga berkata statistik Kementerian Pelancongan mendedahkan Malaysia
menerima 102.2 juta pelancong asing di antara 2008-2013 tetapi hanya 2.4
juta atau lebih kurang 2% melawat Perak.
"Purata kira-kira 400,000 pengunjung setahun antara 2008 dan tahun
lepas," katanya sambil menambah adalah tidak realistik bagi Zambry untuk
mempercayai jumlah pelancong asing akan bertambah tiga atau empat kali
ganda secara ajaib dengan siapnya MAPS tanpa lapangan terbang
antarabangsa.
Beliau berkata, perniagaan taman tema adalah industri yang sangat
berdaya saing dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pembukaan
Legoland di Johor Baru dan Universal Studio di Singapura.
Nga mengatakan Cartoon Network Amazone Theme Park di Pattaya akan
dibuka di Thailand pada Julai dan Twentieth Century Fox Theme Park di
Genting dijangka dibuka pada 2016.
Legoland juga boleh mendapat manfaat daripada pelancong asing ke
Universal Studio Singapura kerana lokasinya yang strategik dan
berhampiran Singapura.
Universal Studio Singapura merekodkan dua juta pelancong selepas sembilan bulan dibuka.
Pada masa sama, Twentieth Century Fox Theme Park melabur RM910 juta
untuk menaik taraf taman tema sedia ada bagi menarik pelancong
antarabangsa.
Cartoon Network Amazone Theme Park di Pattaya walaupun agak kecil
dengan pelaburan RM100 juta juga mempunyai kelebihan kerana terletak di
sebelah pantai terkenal di peringkat antarabangsa.
Ia terletak hanya 15 minit memandu dari selatan Pattaya dan
dilengkapkan pantai yang indah, berpotensi menarik lebih ramai pelancong
ke Pattaya.
"Apakah kelebihan kompetitif MAPS sebagai taman tema bernilai RM300 juta dibina di bandar tanpa lapangan terbang antarabangsa?
Beliau menggesa Zambry melancarkan satu pelan induk pelancongan Ipoh
serta merta yang meliputi pengangkutan, infrastruktur, makanan, dan
penginapan untuk melengkapkan dan menarik lebih ramai pelancong ke MAPS.
– 7 April, 2014.
No comments:
Post a Comment