Monday, April 14, 2014

TPPA datang, kedaulatan hilang

Perdagangan antarabangsa adalah satu realiti. Tiada negara di dunia yang boleh menafikan realiti tersebut. Negara-negara di dunia memerlukan antara satu sama lain bagi mengembangkan ekonomi mereka. Justeru, datangnya idea pengembangan ekonomi melalui perjanjian perdagangan melibatkan negara negara tentu seperti AFTA (Asean Free Trade Agreement) , NAFTA (North America Free Trade Agreement) atau TPPA (Trans Pacific Partnership Agreement).

Artikel ini berkaitan dengan TPPA. Secara umumnya idea TPPA adalah baik kerana ia memberi peluang kepada negara negara yang terlibat dengan TPPA untuk melebarluas pasaran ekonomi  atau perdagangan negara mereka. Kita tahu banyak negara mungkin tidak dapat menembusi pasaran negara luar kerana wujudnya sekatan sekatan perdagangan seperti tarif import yang amat tinggi atau kouta atau lain-lain sekatan. TPPA bertujuan meliberalisasi perdagangan antarabangsa.

Malaysia terlibat dalam TPPA bersama sama 11 negara yang lain seperti USA, New Zealand, Peru, Singapura dan beberapa negara yang lain. TPPA kini masih dalam peringkat rundingan bagi menyelesaikan terma-terma yang dipersetujui yang melibatkan 29 bab merangkumi pelbagai sektor dan tidak terhad kepada sektor perdagangan sahaja.

Meskipun idea TPPA adalah baik namun aspek negatifnya mengatasi aspek positifnya sekaligus bantahan kepada TPPA disuarakan di dalam dan di luar Parlimen. Bantahan itu ada asas yang amat kuat. Pertamanya proses perundingan TPPA berjalan secara rahsia. Terma-terma yang hendak dibincang dan dipersetujui juga dirahsiakan.

Kami sebagai ahli Parlimen juga tidak diberi keistimewaan untuk diberi salinan draf perjanjian dan butir-butir rundingan. Di Parlimen, Menteri hanya memaklumkan bahawa hak dan kepentingan rakyat negara ini akan dilindungi namun apabila kita bertanya macam mana ia akan dilindungi dalam keadaan kita sebagai ahli Parlimen tidak dimaklumkan terma terma rundingan, Menteri tidak dapat menjawab.

Masalah pertama TPPA adalah, negara-negara yang terlibat tidak mempunyai kekuatan ekonomi yang seimbang. Ketidakseimbangan ini sudah pasti akan menjejaskan kuasa atau kekuatan rundingan kita (bargaining power). Sebagai contoh, di belakang negara Amerika adalah gergasi gergasi ekonomi seperti Wall Mart yang mempunyai kuasa melobi yang amat dominan. Dalam ketidaaan padang yang sama rata maka kita percaya negara kecil seperti Malaysia amat sukar untuk melindungi kepentingan rakyat hatta kedaulatan negara jika kita setuju tandatangan TPPA.

Saya kata kedaulatan negara akan terdedah kepada ancaman jika TPPA ditandatangani. Kita tahu di Malaysia kita mempunyai Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai beberapa klausa bagi menjamin kedaulatan negara. Kita mempunyai Artikel 3 mengenai Islam, Artikel 152 mengenai bahasa melayu atau Artikel 153 mengenai kepentingan Melayu dan bumiputra yang mana artikel artikel ini dan beberapa artikel yang lain diwujudkan sejak awal bagi melindungi kedaulatan negara kita.

Bagaimanakah TPPA boleh mengancam kedaulatan negara? Jawapannya kesan pada terma dalam TPPA itu sendiri. Di dalam TPPA seperti NAFTA wujudnya satu klausa yang dipanggil "expropriation clause". Kesan klausa ini adalah ia membenarkan mana-mana syarikat atau pelabur asing negara-negara TPPA untuk menyaman mana-mana negara TPPA jika wujud polisi yang boleh mengancam kepentingan perniagaan syarikat tersebut. Ini telah pun berlaku sebelum ini dalam kes NAFTA.

Sebuah syarikat gergasi Amerika iaitu Ethyl Corporation pernah menyaman negara Kanada kerana Kanada melarang MMT (methyleyclapentadienyl mangenese tricarboynl) yang mengandungi "leaded gasoline" yang boleh membahayakan kesihatan manusia. Sebagai pengeluar MMT Syarikat Ethyl telah menyaman Kerajaan Kanada menuntut gantirugi 251 juta dollar Amerika. Saman ini dibuat berdasarkan klausa di NAFTA. Malahan 5 bulan sebelum polisi Kerajaan Kanada itu diperkenalkan, Ethyl telah memfailkan notis niat mereka untuk menyaman bagi menghalang isu MMT itu dibincang di dalam Parlimen Kanada kerana ia dikatakan boleh menjatuhkan reputasi syarikat Ethyl tersebut.

Lihatlah bagaimana kesan perjanjian seperti TPPA. Lihatlah bagaimana sebuah syarikat boleh menyaman sebuah negara meskipun negara memperkenalkan polisi yang baik bagi melindungi kesihatan rakyat. Kerajaan Uruguay juga pernah disaman oleh syarikat rokok gergasi Philip Morris apabila Kerajaan Uruguay meminta Philip Morris meletakkan gambar kesan kanser kepada perokok di kotak rokok. Bagi Philip Morris permintaan Kerajaan Uruguay itu adalah melanggar klausa "expropriation clause" yang wujud di dalam NAFTA.

Sayugia juga dicatatkan di sini di dalam TPPA wujudnya apa yang dipanggil klausa ISDS ("investor to state dispute settlement") yang mewajarkan wujudnya Tribunal khas yang akan mendengar dan memutuskan aduan berkaitan apa-apa perbalahan berkaitan terma terma TPPA. Dengan wujudnya ISDS ini maka Mahkamah di negara ini tidak akan dilibatkan dengan apa-apa aduan dan perbalahan dalam TPPA. Jadi bagaimanakah tribunal antarabangsa ini boleh diharapkan dapat melindungi kepentingan dalam Perlembagaan Persekutuan?

Yang lebih membimbangkan, TPPA boleh mengakibatkan setengah barangan atau perkhidmatan akan meningkat secara mendadak. Sebagai contoh kos perubatan. Kita tahu di negara ini, kos ubat secara relatif masih murah kerana ubat kita termasuk dalam generic medicine.

Bagaimanapun jika ubat ubatan mula dikawal melalui skim patent maka harga ubat-ubatan akan meningkat secara mendadak. Persatuan Pengguna Pulau Pinang meramalkan kenaikan harga ubat yang dipatent akan naik 1,044 peratus dari harga yang kita kecapi sekarang!

Penulis ialah Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Sepang.

No comments:

Post a Comment