Bekas
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said (gambar) membayangkan hasrat untuk
meninggalkan bidang politik apabila memutuskan tidak lagi bertanding
dalam pilihan raya umum akan datang, lapor akhbar Umno, Utusan Malaysia.
Menurut Ahmad, masih ramai yang boleh menjadi pengganti dan sudah cukup
baginya berpolitik kerana telah mencapai kedudukan tertinggi di
peringkat negeri dengan tanggungjawab sebagai menteri besar.
“"Kalau boleh saya nak berhenti sekarang tapi tak bolehlah dengan
keadaan politik (Terengganu) sekarang," ujar beliau dengan harapan dapat
memberi tumpuan lebih masa bersama keluarga, lapor akhbar itu.
Ahmad menggemparkan politik negeri pantai timur itu apabila membuat
keputusan keluar daripada Umno dan menjadi calon Bebas bersama dua
rakannya.
Tindakan ini menjadikan kerajaan BN Terengganu kerajaan minoriti
apabila hanya mempunyai 14 Adun sedangkan Pakatan Rakyat 15 (14 PAS dan 1
PKR) di samping tiga Adun Bebas.
Namun, semua berakhir selepas tidak sampai 48 jam apabila Ahmad dan dua
rakannya menarik balik surat itu dan menyertai Umno semula.
Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam
menyertai majlis kenduri perkahwinan anak Ahmad Said di Telok Kalong,
Kemaman.
Dengan peralihan kepemimpinan negeri, menurut Ahmad beliau tidak akan
berada dalam barisan Exco negeri manakala jawatan sebagai pengerusi
Badan Perhubungan Umno sudah dilepaskan.
"Juga mengenai pengerusi Umno negeri, itu automatik. Tak ada dah. Tapi
terpulang pada perdana menteri putuskan (siapa)," katanya kepada
pemberita di Kemaman semalam.
Beliau ditemui selepas mengiringi kepulangan Najib yang menghadiri majlis kenduri kesyukuran perkahwinan anaknya.
Katanya, keputusan yang diambil bukan disebabkan rasa kecewa ekoran
pergolakan yang tercetus semasa proses peralihan kepemimpinan negeri
berjalan.
Ahmad memberi peringatan bahawa politik di negeri itu sememangnya dalam
keadaan “rapuh” dengan kedudukan 17-15 dan apa-apa boleh berlaku dalam
tempoh empat tahun lagi yang menuntut perhatian serius diberikan bagi
Umno dan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasa.
Ahmad dikatakan akan dilantik menjadi duta namun beliau menafikannya buat masa terdekat ini. – 18 Mei, 2014. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment