26/5/14
‘Kenapa baru didedah?’
[HM] Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mempertikaikan tindakan
Kementerian Kesihatan (KKM) yang mendedahkan keputusan ujian tiga sampel
coklat Cadbury hanya selepas tiga bulan analisis itu dilakukan.
Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata, keputusan itu juga hanya
dimaklumkan secara rasmi selepas maklumat berkenaan bocor dan tersebar
luas melalui media sosial dan ia disifatkan sebagai penganiayaan kepada
pengguna.
Beliau turut mendakwa, pihaknya dimaklumkan masih terdapat kira-kira 15
produk lain dipercayai mengandungi asid deoksiribonulkleik (DNA) babi
namun belum didedahkan KKM kepada umum.
“Kenapa baru sekarang maklumat ini didedahkan sedangkan ujian dibuat pada Februari lagi.
Dan jika benar ada 15 produk lain turut mengandungi DNA babi, kenapa masih dirahsiakan?” katanya, semalam.
Sehubungan itu, beliau mendesak supaya Akta Halal yang pernah
dicadangkan kerajaan 15 tahun lalu diwujudkan bagi mengendalikan hal
seumpama ini, bukannya sekadar bergantung kepada Akta Perihal Dagangan
2011.
“Insya-Allah Selasa ini (esok) kami (PPIM) akan panggil semua NGO (badan
bukan kerajaan) Islam untuk bersama menyatakan bantahan serta mengambil
tindakan terhadap Cadbury mewakili seluruh umat Islam di Malaysia.
“Ini kerana mereka gagal memastikan produk yang dihasilkan halal
walaupun sudah mendapat pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (JAKIM).
“Kami juga mahu produk Cadbury disita semuanya, bukan hanya yang
disahkan ada DNA babi kerana mengikut Akta Makanan 1983 pun, jika ada
keraguan boleh sita semua sekali.
Kita tak mahu kelak ada manipulasi untuk tukar pembungkusan atau sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia
(FOMCA) Yusof Abdul Rahman meminta pengeluar coklat itu memberikan
penjelasan kepada orang ramai mengenai keputusan analisis itu jika
mereka tidak tahu mengenainya.
“Isu ini seolah-olah didiamkan.
Jika ujian dilakukan pada Februari, adakah Cadbury juga tidak tahu
mengenainya atau mereka mengambil langkah berdiam diri untuk
menyelamatkan pasaran? Kami mahukan penjelasan.

No comments:
Post a Comment