Keputusan
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk mendakwa semula pemimpin
pembangkang Nik Nazmi Nik Ahmad mengejutkan orang ramai dan mereka
meminta penjelasan daripadanya. – Gambar The Malaysian Insider, 15 Mei,
2014. Para peguam hari ini menggesa Peguam Negara Tan Sri
Abdul Gani Patail berhenti terus berdiam diri dan menjawab beberapa
keputusan yang boleh dipersoalkan oleh pejabatnya berhubung dakwaan
kepada pemimpin pembangkang yang dibawa ke mahkamah.
Ia amat mengejutkan apabila Gani memutuskan untuk mendakwa semula
pemimpin pembangkang Nik Nazmi Nik Ahmad atas kegagalannya memberikan
notis 10 hari kepada polis untuk mengadakan perhimpunan seperti yang
disebutkan dalam Akta Perhimpunan Aman (PAA).
Keputusan itu tetap diambil walaupun Mahkamah Rayuan membebaskan Nik
Nazmi pada 25 April selepas melihat hukuman di bawah PAA tidak
berperlembagaan kerana melanggar hak asasi rakyat untuk berhimpun secara
aman.
Peguam berkata Gani harus sedar rakyat meletakkan jangkaan yang tinggi kepadanya dan beliau kini perlu memberikan penjelasan.
Gani mesti mempertahankan integriti pejabat yang dikepalainya sejak 2001, menurut peguam berkenaan.
Mereka juga mendapati salah guna Akta Hasutan oleh peguam negara bagi
menghalang tentangan terhadap Putrajaya, walaupun Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak mengumumkan untuk memansuhkan undang-undang itu.
Minggu lalu, naib presiden DAP Teresa Kok dituduh menghasut melalui
video satiranya, 'Onederful Malaysia' yang dikeluarkan pada Februari.
Terdahulu, ahli parlimen PKR Chua Tian Chang, ahli PAS Tamrin Ghafar
dan aktivis Haris Ibrahim, Adam Adli dan Safwan Anang turut dituduh
melalui undang-undang kejam itu.
Peguam berkata pemimpin yang menyebelahi Umno seperti Presiden Perkasa
Datuk Ibrahim Ali dan bekas naib presidennya, Datuk Zulkifli Noordin
terlepas daripada pertuduhan kerana membangkitkan api perkauman dan
agama.
Mereka berkata Gani perlu menjawab isu ini dan kegagalan berbuat
demikian hanya akan memberikan persepsi negatif kepada diri dan
jabatannya mengamalkan pendakwaan terpilih terhadap mereka yang
menentang kerajaan.
Peguam jenayah Datuk Baljit Singh Sidhu berkata Gani harus tampil setelah isu yang disebutkan menjadi kepentingan ramai.
"Beliau mesti menjelaskan isu tersebut supaya rakyat merasakan
kewujudannya," katanya yang kini merupakan tenaga pengajar di sebuah
universiti tempatan.
Baljit berkata rakyat mengharapkan Gani tampil ke mahkamah dan mempertahankan polisi jabatan serta keputusannya.
"Peguam negara seperti Tan Sri Abu Talib Othman selalu tampil dalam
pendakwaan. Mengapa Gani enggan berbuat demikian dalam kes
berkepentingan seperti hasutan dan PAA?" katanya.
Peguam sivil Syahredzan Johan berkata beliau mahu Gani tampil agar
rakyat tidak membuat kesimpulan sendiri berhubung isu yang membabitkan
kepentingan ramai.
"Sebelum ini, Gani dan jabatannya tampil ke khalayak ramai dan saya berharap perkara sama dilakukannya," katanya.
Syahredzan berkata Gani mempunyai tanggungjawab melindungi institusi awam yang diketuainya setelah sering mendapat perhatian.
"Saya tidak mengharapkan beliau menjawab semua isu, tetapi
sekurang-kurangnya menjawab kes penting agar tiada persepsi buruk
terhadap diri dan jabatannya. – 15 Mei, 2014. TMI
4 tahil lebih kurang sama dengan 150 gram. Sekarang ni orang dah tak guna tahil, ia dah jadi antik.
ReplyDelete