KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat harus bekerja kuat dalam PRK Bukit Gelugor walaupun BN tidak meletakkan calon mereka dalam pilihan raya ini.Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli berkata Pakatan Rakyat jangan menganggap mereka sudah mencapai kemenangan apabila BN gentar untuk meletakkan calonnya.
Bagaimanapun beliau khuatir jumlah pengundi akan berkurangan kerana ketiadaan BN dalam PRK ini.
"Pengundi akan mengurangkan rasa untuk mengalahkan BN, khuatir pengundi-pengundi PR ambil jalan mudah untuk tidak keluar mengundi.
"Saya seru pengundi kena ambil serius dengan keluar mengundi bagi menghantar isyarat jelas bagi mengekalkan kerusi ini untuk PR, keputusan majoriti yang lebih besar akan memberi isyarat kepada BN," katanya kepada Harakahdaily.
Melihat PRK ini tanpa calon BN, Hatta melahirkan rasa pelik kerana BN sepatutnya mengambil sikap untuk bertanding kerana kekosongan kerusi Bukit Gelugor disebabkan kematian penyandangnya Karpal Singh.
Bukan seperti situasi di PRK Kajang, jelas Hatta BN membantah pilihan raya itu kerana peletakkan jawatan oleh calon PKR tetapi dalam masa yang sama BN tetap mengambil bahagian.
"Kali ini di Bukit Gelugor BN tidak berkeyakinan untuk menang dan tidak mahu menggalas risiko yang besar dibimbangi kalah teruk.
"Tetapi dalam masa yang sama Perdana Menteri memberi amaran memastikan Pakatan Rakyat ditentang dalam Bukit Gelugor," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.
Ini bermakna, jelas Hatta, BN akan berpihak kepada mana-mana calon termasuk Parti Cinta Malaysia (PCM) dan dua calon Bebas yang turut serta dalam pertandingan ini nanti.
Berhubung persiapan jentera parti PAS di Bukit Gelugor, Hatta berkata, PAS akan memberi fokus kepada kawasan-kawasan mempunyai majoriti Melayu.
Empat kawasan tersebut adalah Kampung Melayu, Sungai Gelugor, Taman Tun Sardon dan Bukit Gelugor yang mempunyai 40 hingga 84 peratus adalah pengundi Melayu.
"Semalam kita sudah lancar jentera pilihan PAS. Jentera ini dari kalangan jentera Pulau Pinang sendiri dan jentera dari luar termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis," katanya.
PRK Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian Karpal Singh dalam kemalangan jalan raya berhampiran Gua Tempurung, Ipoh pada 17 April lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon hari ini dan hari mengundi pada 21 Mei ini.
Pada PRU13 lalu, mendiang Karpal Singh yang mendapat 55,839 undi memenangi kerusi itu dengan majoriti 41,778 undi menewaskan calon BN Teh Beng Yeam, yang memungut 14,061 undi. - HARAKAHDAILY 12/5/2014
No comments:
Post a Comment