

“Mereka sudah tahu perkara ini. Mereka ada keraguan mengenai lokasi di mana MH370 kali terakhir ‘dikesan’ sejak dari awal.
“Kami sudah tahu. Pendedahan terbaru mengenai ping dan kenyataan
daripada Australia membuktikan keraguan dan kecurigaan kami mengenai
kedudukan terakhir pesawat itu,” kata Zahida Hasnan kepada The Malaysian
Insider.
Zahida dari Singapura adalah kakak kepada Mohd Hazrin Hasnan, seorang
daripada 12 anak kapal MH370 yang lesap pada 8 Mac bersama 227 penumpang
itu.
Katanya, lokasi itu, berdasarkan kepada data satelit syarikat British,
Inmarsat dan ping yang didakwa pihak berkuasa datang dari kotak hitam
pesawat berkenaan, hanya ‘plot’ untuk mengalih perhatian dunia daripada
kebenaran.
“Mereka tahu sesuatu tetapi tidak beritahu saya,” kata Zahida.
Pegawai Australia semalam mengesahkan pesawat MH370 tidak berada di kawasan pencarian di selatan Lautan Hindi.
Zahida berkata, beliau penat bersabar dan ‘dibuli’ oleh pihak berkuasa yang terus menipu keluarga.
“Saya penat dengan semua ini. Kami perlu pembabitan penyiasat
persendirian. Kami perlu ketelusan dan perkongsian maklumat dengan
cepat,” kata Zahida.
Beliau berkata, di sebalik maklumat yang dipegang oleh pihak berkuasa,
terutama daripada kerajaan Malaysia, dunia nampaknya lebih ke depan
dalam memberi maklumat.
Zahida berkata, kedua-dua perdana menteri Malaysia dan Australia, Datuk
Seri Najib Razak dan Tony Abbott masing-masing, menipu sejak dari awal.
“Mereka tidak boleh dipercayai lagi,” kata Zahida.
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) dalam satu kenyataan semalam
berkata, kenderaan bawah laut automatic Bluefin-21 melengkapkan misinya
pada Rabu, dan selepas meneliti lebih 850 kilometer persegi di dasar
laut, ia tidak menemui sebarang tanda bangkai pesawat itu.
Lokman Mustafa, abang kepada penumpang MH370, Suhaili, berkata
pengumuman JACC tidak memeranjatkan kerana kebanyakan rakyat Malaysia
percaya pesawat itu tidak terhempas di selatan Lautan Hindi.
“Ketiadaan sebarang bangkai atau serpihan, dan empat ping yang diterima
itu tidak berkait dengan pesawat itu mengukuhkan lagi kepercayaan ini,”
katanya.
Beliau berkata, masih ada yang bercakap mengenai laporan terdahulu
iaitu MH370 membuat pendaratan kecemasan di satu tempat di selatan China
sementara yang lain percaya ia dirampas, dan dibawa ke lokasi rahsia.
“Malah ada juga yang mengatakan mengenai kenyataan oleh kapten tidak
bernama iaitu ‘pesawat itu tidak pernah meninggalkan ruang angkasa
Malaysia’,” katanya.
Bercakap bagi pihak keluarganya, Lokman berkata, mereka bersetuju
dengan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang mengenai penubuhan
Jawatankuasa Pemilih Parlimen untuk menyiasat perkara ini dan
menyelamatkan kredibiliti Malaysia.
“Dan ya, mengapa tidak membenarkan pembangkang mengetuai jawatankuasa itu.
“Sebagai keluarga penumpang pesawat itu, kami terus berharap, pihak
berkuasa sepatutnya tidak cuba memberi penutup tanpa jawapan pasti.
“Oleh itu, pengumuman (oleh Najib) ‘pesawat MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi’ sudah tentu ada kelonggaran,” katanya.
Sementara itu, K S Narendran, suami kepada penumpang, Chandrika Sharma, mempunyai lebih banyak soalan selepas pengumuman JACC.
Beliau berkata, ini adalah jelas menunjukkan kekurangan kepimpinan,
ketidakcekapan dan kekurangan bahagian terperinci dan akibat kredibiliti
rendah semua pihak terbabit.
“Memandangkan sudah lama rakyat tidak mempercayai sumber rasmi, kini
semua bebas untuk melontarkan idea, spekulasi,” kata Narendran.
Katanya, hingga kini tiada sesiapa yang tahu siapa pakar yang mengetuai pencarian itu.
“Kita tidak ada nama, atau kelayakan mereka. Setakat ini, tiada yang
tampil untuk mendapatkan kepakaran pihak lain atas semangat inkuiri
kerjasama untuk memberikan perkara sebenar kepada umum.
“Kita masih tidak tahu siapa ahli tiga jawatankuasa yang diumumkan
pemangku Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Hishammuddin Hussein),
walaupun sudah berulang kali meminta maklumat itu.
“Saya bangkitkan perkara ini untuk menunjukkan maklumat asas yang
sepatutnya boleh diakses dengan mudah juga ditahan,” kata Narendran.
JACC dalam kenyataannya berkata:”Data yang dikumpul daripada misi
semalam (Rabu) sudah dianalisis. Hasilnya, JACC boleh menyatakan tiada
tanda serpihan pesawat ditemui oleh kenderaan bawah laut automatic sejak
ia menyertai usaha mencari itu.
“Oleh itu, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia menasihatkan
pencarian di kawasan di mana akustik dikesan sebelum ini kini dianggap
selesai dan mengikut penilaian professional, kawasan itu boleh dikatakan
bukan tempat terakhir persemadian MH370.”
Penemuan ping pada 5 dan 8 April menjadi permulaan yang penting, dengan
Perdana Menteri Australia, Tony Abbott melahirkan keyakinan pencari
tahu di mana bangkai pesawat itu berada dalam kawasan beberapa
kilometer.
Bagaimanapun, imbasan terperinci di kawasan seluas 850 kilometer
persegi di sekeliling ping diterima menggunakan kapal selam gagal
menemui tanda bangkai. Tiada serpihan yang boleh dikaitkan dengan
pesawat itu ditemui walaupun usaha pencarian itu adalah paling besar dan
mahal dalam sejarah penerbangan.
Ping yang menjadi petunjuk utama untuk mengesan pesawat hilang itu,
bagaimanapun tidak lagi dipercayai datang daripada kotak hitam MH370,
lapor CNN.
Timbalan Pengarah Kejuruteraan Laut Tentera Laut AS, Michael Dean
memberitahu CNN kini ada persetujuan ping itu datang daripada sumber
buatan manusia lain yang tidak berkait dengan pesawat itu.
Bercakap kepada CNN, Dean berkata, jika ping itu daripada perakam pesawat berkenaan, pencari sudah pasti menemuinya.
Dean berkata dalam laporan CNN, negara lain yang terbabit dalam pencarian MH370 turut membuat kesimpulan sama.
Katanya, walaupun tidak mungkin untuk menolak sepenuhnya teori ping itu
datang daripada kotak hitam pesawat berkenaan, tidak ada bukti
mencadangkan sebaliknya. – 31 Mei 2014 . The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment