[TMI] Bekas ketua pengarang kumpulan akhbar New Straits Times (NST),
Datuk A Kadir Jasin tidak menolak kemungkinan tiga Ahli Dewan Undangan
Negeri (Adun) Umno di Terengganu yang keluar parti boleh bertukar
fikiran jika kena pada "harganya".
Kemelut politik dalaman Umno di negeri itu tercetus selepas peletakan
jawatan Datuk Seri Ahmad Said sebagai menteri besar dan kemudian diikuti
dua lagi Adun.
Lebih meruncingkan, PAS mendakwa empat lagi Adun akan keluar parti
sebagai tanda membantah keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak.
"Ini hanya perkembangan awal.
"Ahli politik boleh bertukar fikiran secara sukarela jika kena pada
'harganya'. Seringkali dikatakan ahli politik yang kita percayai sudah
tiada lagi," kata Kadir dalam blognya kadirjasin.blogspot.com hari ini.
Kadir juga membayangkan keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya
beberapa Adun lain di Terengganu mengambil langkah sama keluar parti.
"Situasi pasti buruk kepada BN (Barisan Nasional) sekiranya ada Adun Umno lain mengikut jejak Ahmad dan Ghazali," katanya.
Jangkaan Kadir tersebut semakin menjadi kenyataan apabila Adun ketiga,
Roslee Daud dari Bukit Besi meninggalkan Umno dan menjadi wakil rakyat
bebas.
Kadir berkata, PAS boleh membentuk kerajaan baharu di Terengganu dengan
mendapatkan undi tidak percaya ke atas menteri besar baharu menerusi
sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Mereka (PAS) juga boleh mendesak sesi khas DUN untuk mendapatkan undi
tidak percaya ke atas menteri besar memandangkan beliau tidak memiliki
majoriti di dalam dewan," katanya.
Ahmad bersama dua lagi Adun Umno keluar parti beberapa jam selepas Datuk
Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik sebagai menteri besar baharu semalam.
Tindakan tersebut menyebabkan komposisi DUN yang dikuasai oleh BN di
Terengganu berubah dan menjadikan jumlah kerusi sama dengan Pakatan
Rakyat.
Bagaimanapun, Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Azhar Abdul Hamid
berkata BN masih kekal memerintah Terengganu walaupun tiga wakil
rakyatnya keluar parti.
Beliau berkata, walaupun bilangan wakil rakyat BN berkurangan daripada
17 kepada 14 dan pembangkang mempunyai 15 anggota dalam dewan undangan
negeri, speaker juga dikira sebagai wakil kepada kerajaan negeri yang
memerintah dengan kedudukan kerusi 15:15:3.
Secara konvensyennya, kebanyakan ahli politik menandatangani surat
peletakan jawatan undur tarikh sebelum memegang jawatan di Malaysia.
Ahmad yang mengawal sesetengah pecahan dalam Umno Terengganu mengangkat
sumpah sebagai menteri besar pada Mac 2008, walaupun Umno memilih Datuk
Seri Idris Jusoh.
Idris kini merupakan menteri pendidikan II dalam Kabinet Najib.
Tahun lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata ketika Pilihan Raya
Kecil (PRK) Kuala Besut mereka tidak boleh campur tangan di Terengganu
jika berlaku DUN tergantung disebabkan BN menang tipis.
Menurut SPR, terpulang kepada parti politik untuk menyelesaikan masalah itu. – 13 Mei, 2014.

No comments:
Post a Comment