Pensyarah
kontroversi, Dr Ridhuan Tee Abdullah berkata bilangan rumah ibadat
berkenaan melebihi bilangan surau dan masjid dan tidak menampakkann
negara Islam. – Gambar The Malaysian Insider, 5 Mei, 2014. Dr
Ridhuan Tee Abdullah hari ini mempersoalkan pertambahan bilangan rumah
ibadat bukan Islam seperti kuil, tokong dan gereja yang memperlihatkan
Malaysia tidak lagi mencerminkan ciri sebuah negara Islam.
Pensyarah kontroversi itu berkata bilangan rumah ibadat berkenaan
melebihi bilangan surau dan masjid, malah pada hari ini juga bahasa
Melayu sudah hilang kedaulatannya.
“Rumah ibadat di negara ini sudah tidak nampak macam negara Islam
tetapi sudah jadi negara bukan Islam dengan lambakan kuil, tokong dan
gereja yang melebihi berbanding surau dan masjid.
“Bahasa Melayu tidak lagi berdaulat. Bahasa asing lebih mengakar
terutama bahasa Inggeris dan bahasa Cina. Institut Pengajian Tinggi
Swasta (IPTS) langsung tidak mempraktikkan bahasa Melayu selaku bahasa
kebangsaan,” katanya menerusi artikel yang disiarkan Sinar Harian.
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu turut
menyelar beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang mengadakan
pertemuan bersama Presiden Amerika Syarikat Barack Obama tetapi
mendedahkan keburukan Malaysia.
Katanya, Malaysia merupakan sebuah negara yang baik, sebab itulah
golongan berkenaan terus mencemuh sistem dan keadaan di negara ini.
“Kita lihat NGO bukan Islam begitu ghairah bertanya soalan kepada
Obama. Soalan dan pandangan mereka tidak sedikit pun memuji negara yang
didiaminya, sanak-saudara dan tempatnya mencari makan secara
senang-lenang.
“Pada saya mudah sahaja, jika di sini, bukan lagi syurga untuk
dijadikan tempat tinggal, carilah tempat lain yang boleh menjanjikan
syurga itu. Kenapa mereka tidak berbuat demikian?
“Jawapannya mudah. Di sini sudah ada syurga. Kenapa mereka masih
meminta dan mendesak? Mereka mahukan syurga yang lebih indah. Kita yang
masih tidak nampak,” katanya.
Minggu lalu, Obama mengadakan pertemuan selama sejam bersama 10
kumpulan masyarakat yang membawa isu hak asasi manusia dan pertuduhan
politik terhadap ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas pengerusi bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan berkata
antara isu yang dibangkitkan kepada Obama adalah polarisasi kaum dan
agama, perpecahan politik dalam pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak, pilihan raya bebas dan adil serta kawalan media oleh
kerajaan.
Ridhuan turut mengkritik pihak yang mempersoalkan calon temuduga biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) ditanya tentang Islam.
Katanya, apa yang dilakukan penemuduga tidak salah, apatah lagi isu pendebatan kalimah Allah sedang hangat diperkatakan.
“Apa salahnya jika temu duga turut bertanya soalan pasal Islam? Dapat
jawab, itu dikira kredit. Tidak dapat jawab, tiada masalah. Bukan
bermakna pelajar yang tidak dapat menjawab diketepikan.
“Saya tidak kata tindakan penemuduga itu betul, tetapi serangan mereka
amat keterlaluan. Kadangkala dalam temuduga, kita juga ditanya mengenai
perbandingan agama yang berkaitan dengan agama lain. Pelajar Melayu
tidak pernah bising pun,” katanya.
Minggu lalu, Timbalan Pengarah Mara Negeri Sarawak, Mariam Mohtar
memberitahu The Malaysian Insider pegawai dari ibu pejabat di Kuala
Lumpur yang menjalankan temuduga biasiswa berkenaan sedang disiasat.
Katanya, pelajar bukan Islam yang menghadiri temuduga biasiswa, tidak
perlu disoal mengenai Islam ekoran dakwaan ketaksuban agama.
Mariam berkata demikian kepada Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, Tan
Sri Dr James Masing (gambar) yang sebelum ini menyifatkan Mara sebagai
"bodoh" kerana menyoal pelajar bukan Islam berkenaan Islam semasa
temuduga mereka untuk bantuan kewangan. – 5 Mei, 2014.
The Malaysian Insider
Ini tentu kerja Anwar dan PR menyebabkan kuil2 dan gereja malambak2 di semua negeri di Malaysia. Di Negeri Sembilan saja kuil2 bukan lagi bertaraf kecil2an, tapi sudah capai kategori super, mengalahkan masjid2 negeri dan daerah. Negeri2 lain seperti Selangor, P Pinang, Johor dan Pahang cuba2lah buat kiraan. Ini tak lain dan tak bukan mesti kerja Anwar, kan doktor? Nak tahu berapa gaji assisten sami2nya? Tak kurang dari RM5,000 sebulan. Berapa pula gaji Imam No 1 sesebuah masjid?
ReplyDelete