Datuk
Seri Hishamuddin Hussein bercakap kepada wartawan semasa sidang media
berkenaan penerbangan Malaysia Airlines MH370 di Kuala Lumpur hari ini. –
Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 2 Mei, 2014. Kerajaan
sedang mengadakan perbincangan terperinci dengan empat syarikat
Malaysia berhubung penggunaan aset khusus dalam pencarian baharu di laut
dalam pesawat MH370.
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata
perbincangan diadakan dengan SapuraKencana Petroleum, Petronas, Boustead
Holding Berhad dan DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (DefTech)
bagi penggunaan aset mereka.
Aset itu termasuk kendearaan tanpa kendalian autonomi (AUV), sonar
saringan bertunda air dalam, kenderaan yang digerak secara kawalan (ROV)
dan kenderaan sokongan, katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari
ini.
Beliau berkata: "Adalah penting semua entiti Malaysia terlibat dalam
usaha ini untuk bersama bekerja sebagai satu pasukan, mengibar bendera
Malaysia untuk mencari MH370."
Mengenai pasukan penyiasat antarabangsa yang diketuai bekas Ketua
Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Kok Soo Chon, beliau berkata
pasukan itu memulakan siasatan mereka di bawah terma rujukan yang
digariskan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
"Pasukan siasatan telah melakukan lima kali siasatan setakat ini dan kemajuannya akan dilaporkan tidak lama lagi," katanya.
Pasukan siasatan terdiri daripada Lembaga Keselamatan Pengangkutan
Kebangsaan Amerika Syarikat, Cawangan Siasatan Kemalangan Udara Britain
dan Jabatan Siasatan Pesawat China.
Anggota lain terdiri daripada Biro Siasatan Kemalangan Pengangkutan
Darat Perancis, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, pengeluar
pesawat Boeing dan syarikat komunikasi satelit British, Inmarsat.
Pada 23 April, Malaysia mengumumkan pembentukan pasukan penyiasat yang
tujuan utamanya ialah bagi menilai, menyiasat dan menentukan punca
sebenar kehilangan pesawat bagi memastikan ia tidak berulang di masa
depan.
Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari
Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam pada 8 Mac
hilang dari radar skrin kira-kira sejam selepas berlepas ketika berada
di atas Laut China Selatan.
Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.
Usaha pencarian antarabangsa dilancarkan, pada mulanya di Laut China
Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia dilapor berakhir
di situ. – Bernama, 2 Mei, 2014.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment