Kemelut
politik dalaman Barisan Nasional (BN) di Terengganu memaksa Timbalan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turun berjumpa dengan bekas
menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Sumber memberitahu The Malaysian Insider, Muhyiddin (gambar) dijangka
tiba petang ini di Terengganu dan akan mengadakan pertemuan dengan Ahmad
bagi mencari jalan penyelesaian.
"Bukan Perdana Menteri, tapi TPM (Timbalan Perdana Menteri) yang ke Terengganu, dijangka tiba petang ini.
"Beliau (Muhyiddin) akan berjumpa dengan Ahmad nanti," kata sumber Umno
Terengganu kepada The Malaysian Insider menafikan Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak akan hadir.
Sumber juga memberitahu Ahmad sepatutnya mengadakan sidang media petang
ini bagi mengumumkan peletakan jawatan, akan tetapi terpaksa
ditangguhkan dengan kedatangan Muhyiddin.
"Hari ini tiada sidang media Ahmad tapi jumpa Muhyiddin dahulu," kata sumber itu dengan syarat namanya tidak didedahkan.
Sumber juga memberitahu langkah PAS untuk memanggil satu sidang khas
bagi mendapatkan undi tidak percaya ke atas BN tidak boleh dilaksanakan
selagi Ahmad tidak membuat pengumuman rasmi keluar parti.
"Nak buat sidang khas kena sahkan dahulu Ahmad keluar parti. Setakat
ini Ahmad belum tampil belum buat pengumuman rasmi," katanya.
Sumber juga memberitahu khabar angin mengatakan enam Ahli Dewan
Undangan Negeri (Adun) akan keluar parti tidak benar, sebaliknya ia
masih dalam keadaaan "status quo" dengan tiga sahaja wakil rakyat Umno
menjadi Adun Bebas.
"Status quo tiga sahaja, tiga lagi sudah buat kenyataan tidak akan keluar," katanya.
Kemelut politik dalaman Umno di Terengganu tercetus selepas peletakan
jawatan Ahmad sebagai menteri besar dan kemudiannya keluar parti,
langkah tersebut disusuli dua lagi Adun Umno.
Tindakan tersebut menyebabkan komposisi DUN yang dikuasai oleh BN di
Terengganu berubah dan menjadikan jumlah kerusi sama dengan Pakatan
Rakyat (PR).
Bagaimanapun, Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Azhar Abdul Hamid
berkata BN masih kekal memerintah Terengganu walaupun tiga wakil
rakyatnya keluar parti.
Beliau berkata, walaupun bilangan wakil rakyat BN berkurangan daripada
17 kepada 14 dan pembangkang mempunyai 15 anggota dalam dewan undangan
negeri, speaker juga dikira sebagai wakil kepada kerajaan negeri yang
memerintah dengan kedudukan kerusi 15:15:3.
Secara konvensyennya, kebanyakan ahli politik menandatangani surat
peletakan jawatan undur tarikh sebelum memegang jawatan di Malaysia.
Ahmad yang mengawal sesetengah pecahan dalam Umno Terengganu mengangkat
sumpah sebagai menteri besar pada Mac 2008, walaupun Umno memilih Datuk
Seri Idris Jusoh.
Idris kini merupakan menteri pendidikan II dalam Kabinet Najib.
Tahun lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata ketika Pilihan Raya
Kecil (PRK) Kuala Besut mereka tidak boleh campur tangan di Terengganu
jika berlaku DUN tergantung disebabkan BN menang tipis.
Menurut SPR, terpulang kepada parti politik untuk menyelesaikan masalah itu. – 13 Mei, 2014.The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment