Malaysia
Airlines mengalami kerugian berganda susulan kejadian malang kehilangan
MH370 sejak 8 Mac lalu. Gambar fail The Malaysian Insider. Jawatankuasa
Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini berkata Putrajaya patut pertimbang
untuk menjual kepentingannya dalam Malaysia Airlines (MAS) dan membuka
syarikat penerbangan kebangsaan itu kepada pelabur asing, walaupun
syarikat itu berusaha sedaya upaya untuk bertahan di sebalik bayang
krisis MH370.
Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed, baru-baru ini berkata kerajaan
“memasukkan duit” ke dalam MAS menerusi bon daripada Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (KWSP).
“Pada tahun 1990-an, kerajaan cuba menswastakan MAS tetapi syarikat itu
berdepan masalah kewangan dan kerajaan terpaksa membantu.
“Sekarang MAS berdepan masalah besar susulan isu MH370 dan kerajaan
patut pertimbang semula kepentingannya dalam syarikat itu untuk
memastikan ia terus bertahan,” katanya dipetik daripada Star Online hari
ini, merujuk kepada kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac dengan 239
penumpang.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed cadang Putrajaya jual kepentingannya dalam MAS. Nur
Jazlan berkata, kerajaan patut bersedia mendengar cadangan untuk
membantu syarikat yang sedang tenat itu, termasuk membukanya kepada
pelabur luar.
“MAS adalah jenama yang stabil dan kerajaan patut menjualnya,” katanya.
Cadangan itu susulan daripada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak mungkin sudah terlewat untuk menyelamatkan MAS dalam keadaan
semasanya.
Syarikat penerbangan itu dilaporkan mengalami kerugian bersih RM443.4
juta pada suku pertama, jumlah besar daripada kerugian bersih bagi
tempoh sama tahun lalu iaitu RM278.8 juta.
Ia berkata, banyak tempahan tiket dibatalkan dan syarikat itu ditolak bagi perjalanan jarak jauh susulan daripada krisis MH370.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebelum ini berkata kerajaan tidak memberi bantuan kepada MAS.
Penganalisis menggelar tindakan Putrajaya itu sebagai tidak memberi
jalan mudah kepada MAS walaupun tindakan itu akan menyebabkan syarikat
penerbangan itu muflis.
“Kerajaan perlu melihat perkara itu dan membuat keputusan sama ada mereka patut isyhtihar muflis.
“Cara yang ada untuk menyelesaikannya ialah melalui pemusnahan kreatif
– musnahkan syarikat itu dan bina semula yang baru,” kata Shukor Yusof,
seorang penganalisis penerbangan bebas yang pernah berkhidmat dengan
Standard & Poor, kepada Wall Street Journal, baru-baru ini. – 17
Mei, 2014. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment