PKR
membatalkan keputusan pemilihan Cabang Batang Sadong di Sarawak selepas
mendapati berlakunya penipuan semasa proses undian minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Johari Abdul,
berkata pihaknya turut menggantung pengawas pemilihan daripada tugas dan
mencadangkan kepada Jawatankuasa Disiplin supaya mengambil tindakan
terhadap sekumpulan pemimpin cabang yang menang tanpa bertanding untuk
dipecat daripada parti.
"Apa yang berlaku di Batang Sadong adalah jumlah ahli yang keluar
mengundi tidak sama dengan jumlah kertas undi yang dikeluarkan.
"Paten (corak) yang ditulis ni adalah orang yang sama, jadi banyak
hantu yang pergi (mengundi)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat
PKR di Kuala Lumpur, hari ini.
Johari berkata, keputusan dibuat selepas pihaknya mendapati banyak unsur keraguan berlaku sepanjang proses undian.
Katanya, pengawas pemilihan yang terlibat itu sendiri mengakui kepada JPP beliau dikompromi oleh calon yang bertanding.
"Tetapi kita masih siasat adakah dia buat ini atas arahan atau rela hati atau dibayar, kita tidak tahu lagi.
"Keputusan JPP semalam, pengawas yang kita sendiri lantik ini akan
digantung tugas dan dihalang daripada mengambil mana-mana bahagian
sepanjang pemilihan berlangsung," katanya.
Bagaimanapun, katanya, JPP masih menyiasat pihak yang menjadi dalang
penipuan sehingga menyebabkan terjadinya insiden terbabit namun menjamin
ia akan dapat diketahui dalam masa terdekat.
Beliau berkata, beberapa saksi termasuk mereka yang tidak pernah
mengundi juga sudah memberikan kenyataan dan bersedia dipanggil untuk
siasatan.
Sehubungan itu, katanya, beliau memberi amaran kepada individu yang
menjadi dalang penipuan itu pihaknya tidak akan teragak-agak untuk
mengambil tindakan tegas walaupun mereka adalah pimpinan atasan.
"Kami sedang perhatikan anda dan kita akan siasat tanpa gentar atau pilih kasih.
"Anda harus sedar ahli yang berada di bawah memerlukan pemimpin yang
benar-benar layak tetapi kalau anda ada duit dan anda dibayar maka tiada
bezanya anda dengan BN," katanya.
Selain Batang Sadong, Johari turut mengakui beberapa kawasan lain
sedang dalam perhatian serius dan disyaki mengalami insiden sama, iaitu
satu di Semenanjung dan satu lagi kawasan di Sarawak.
Johari bagaimanapun menafikan JPP sama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya yang membuat keputusan atas tekanan politik.
Katanya, satu skuad khas dibentuk bertujuan memantau dan merakam proses
pemilihan dan bergerak secara sulit bagi memastikan bukti yang
diperolehi benar-benar sah.
"Setakat ini saya harap Batang Sadong akan jadi yang terakhir tetapi
tidak bermakna kita berhenti siasat di situ," katanya. – 1 Mei, 2014.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment