PAS
hari ini mengisytiharkan sokongannya terhadap Ramkarpal Singh sebagai
calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Bukit Gelugor,
25 Mei ini.
Timbalan Presidennya Mohamad Sabu (gambar) berkata partinya menganggap
calon DAP itu sebagai calonnya sendiri dan akan memberi sokongan padu
kepada anak ketiga mendiang bekas pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh
itu.
"Kita beri sokongan penuh dan malam esok kita akan lancarkan jentera
pilihan raya PAS untuk membantu DAP dalam PRK Bukit Gelugor," katanya
kepada pemberita selepas pengumuman calon DAP di George Town hari ini.
Mengenai ahli PAS Gombak, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abd Sathar, 63,
menawarkan diri untuk bertanding, katanya PAS akan menyiasat kesahihan
keanggotaan individu berkenaan.
Beliau berkata PAS membuat keputusan tidak meletakkan calon dan jika
benar individu itu adalah anggota parti, PAS tidak teragak-agak
mengambil tindakan untuk memecatnya.
Sebelum ini, dua individu lain turut menyatakan hasrat bertanding dalam
PRK tersebut iaitu Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan
Cheng Guan dan Mohd Yacoob Mohd Noor, seorang pengurus beberapa inap
desa.
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Penang Front Party turut menyatakan hasrat untuk meletakkan calon.
PRK Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh dalam kemalangan jalan raya 17 April lepas.
SPR menetapkan 12 Mei ini sebagai hari penamaan calon, pengundian awal 21 Mei dan hari mengundi 25 Mei ini.
Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, tahun lepas, mendiang Karpal Singh
menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Teh Beng Yeam dengan majoriti
42,706 undi. – Bernama, 10 Mei, 2014.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment