SERDANG:
Pihak yang mendakwa kononnya undang-undang jenayah syariah atau hudud,
sebagai tidak adil, malah memperlekehkan perkara ini, hanya menampakkan
sikap jahil mereka sendiri.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, mereka
ini sebenarnya telah gagal memahami hikmah kehebatan undang-undang yang
menggerunkan orang untuk melakukan kesalahan.
Sebab itu katanya ada dikalangan tertentu yang mengatakan seperti
"jika undang-undang hudud ini dilaksana, maka ramailah kena potong
tangan".
"Adalah salah akal jika memahami bahawa rakyat akan berlumba-lumba untuk mencuri supaya dipotong tangan dan kaki.
"Apa yang sebenarnya berlaku, ramai kalangan penjenayah akan
bertaubat," kata beliau dalam ucapan perasmian Seminar Tegak Syariat
Islam (Tegas) di Stadium Tertutup MPSJ Serdang Jaya hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nasruddin Hassan yang juga pengarah program.
Katanya, undang undang jenayah syariah adalah bersifat mendidik, bukan menghukum.
Malah ujarnya, ianya mempunyai syarat yang ketat untuk dikenakan
hukuman dan hakim pula perlu mencari jalan dengan seboleh-bolehnya untuk
membebaskan pesalah.
Dalam pada itu beliau berkata, perjuangan ke arah pelaksanaan undang-undang Islam ini perlu didahului dengan ilmu dan kesedaran.
Pada masa ini, apa yang wajib katanya adalah membetulkan kefahaman
dan menjelaskan salah faham terhadap kekeliruan yang ditimbulkan.
Apatah lagi kata beliau, di saat negara kini sedang berdepan masalah
jenayah berat tanpa mengira kaum yang sehingga kini tiada satu pun
undang-undang ciptaan manusia dapat mengatasinya.
Dalam seminar sehari ini juga, beberapa kertas kerja turut dibentangkan.
Antaranya kertas kerja bertajuk Kanun Jenayah Syariah: Hikmah
Pelaksanaannya yang dibentangkan oleh Musyrif Pondok Sungai Durian Dr
Abdul Basit Abdul Rahman.
Kertas kerja bertajuk Kanun Jenayah Syariah: Menegakkan Syariat Islam
Satu Kewajipan pula dibentangkan oleh Pemangku Naib Ketua Dewan Ulamak
PAS Pusat Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang Ustaz Mokhtar Senik pula bergandingan
dengan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Khairuddin Aman
Razali membentangkan tajuk Kanun Jenayah Syariah: Kejamkah
Pelaksanaanya?
Satu lagi kertas kerja bertajuk Kanun Jenayah Syariah: Mendepani
Undang-Undang Negara, dibentangkan oleh Presiden Persatuan Peguam-Peguam
Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar. - HARAKAHDAILY 15/6/2014
No comments:
Post a Comment