KUALA LUMPUR:
Pakatan Rakyat Johor menggesa agar Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan
dan Hartanah Johor (LPHJ) yang dibentangkan Menteri Besar dalam sidang
Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini ditangguhkan bagi membolehkan
beberapa pindaan penting dibuat.
Pesuruhjaya PAS Johor, Aminolhuda Hassan berkata, walaupun pada
dasarnya PAS Johor bersetuju dengan beberapa pindaan yang dibuat dalam
rang undang-undang itu, masih terdapat beberapa perkara terutama
berhubung dengan keanggotaan Ahli Lembaga Pengarah LPHJ memerlukan
penelitian lanjut.
"Kita menyokong semangat yang ada dalam RUU tersebut, bagaimanapun
beberapa pindaan perlu dibuat untuk kebaikan rakyat dan negeri ini.
"Sehubungan itu kita pohon agar RUU ini ditangguhkan pembentangannya
dan dibawa semula ke dalam dewan setelah pindaan dibuat," ujarnya ketika
dihubungi Harakahdaily seusai sidang Dun Johor.
Aminolhuda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Yaani
berkata, antara kelemahan yang dikenal pasti dalam Fasal 4 RUU berkenaan
adalah ketiadaan wakil daripada Kerajaan Persekutuan seperti mana yang
wujud dalam Perbadanan Johor (JCorp).
PAS Johor berpendapat, wakil Kerajaan Persekutuan penting dalam LPHJ
bertujuan memberikan nasihat dalam perkara-perkara tertentu yang negeri
tiada mempunyai kepakaran.
Semalam, PAS Pusat menyatakan pendirian agar institusi raja tidak
dibabitkan dalam urusan eksekutif khususnya LPHJ bertujuan menjaga
martabat institusi raja berpelembagaan yang diamalkan di negara ini.
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, PAS konsisten bahawa sistem raja berpelembagaan harus dipertahankan.
Menurut Mohamad, sebarang tindakan mengheret institusi raja ke dalam
urusan eksekutif akan merendahkan martabat dan mencemarkan institusi
raja berpelembagaan di negara ini.
Beliau menambah, kuasa eksekutif dalam menentukan hal berkaitan tanah dan perumahan perlu dikekalkan.
Mengulas isu yang sama, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kayat
berkata, tindakan Kerajaan Johor yang berhasrat membabitkan sultan
secara terus dalam pentadbiran adalah sesuatu yang membimbangkan.
"Tindakan ini bakal mengheret institusi Diraja Johor ke situasi yang terdedah kepada kritikan luar yang serius.
"Fungsi legislatif dan eksekutif perlu terus kekal dalam konsep
negara Raja Berperlembagaan. Maka lebih baik RUU ini ditangguhkan
terlebih dahulu," tegas beliau. - HARAKAHDAILY, 9/6/2014
No comments:
Post a Comment