Sunday, June 15, 2014

Rasa ngeri apa yang negara hadapi di hari muka

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Selama ini kerajaan tidak pernah berjaya untuk mengubati 'penyakit' yang dihadapi oleh rakyat tetapi sekadar memberikan ubat penahan sakit.

"Itu sebabnya kerajaan sanggup memberikan wang bantuan 1Malaysia atau BR1M dan bantuan ini hanyalah menyelesaikan masalah jangka pendek sahaja," tulis Aspan Alias di dalam blognya.

Baginya, jika BR1M dan bonus diberikan semasa hari raya hampir tiba ia hanya mampu menyelesaikan masalah menghadapi hari raya sahaja dan bukannya boleh membantu meningkatkan pendapatan rakyat untuk kesenangan jangka panjang.

Menurutnya, cara Umno mengendalikan isu seolah-olah parti itu lebih suka untuk rakyat terus berada dalam masalah yang mereka alami sekarang untuk mereka memudahkan membeli sokongan dan undi semata-mata.

"Umno nampaknya tidak berminat untuk membangunkan rakyatnya, di sebaliknya hanya inginkan sokongan apabila ia diperlukan," ujarnya.

Tambahnya, Umno dan pimpinan hari ini tidak memahami isu negara secara menyeluruh.

Menurut beliau, isunya berkait dengan isu kehidupan seharian hinggalah isu-isu besar negara yang tidak kunjung nampak apa yang mereka patut lakukan.

"Kadang kala mahu sahaja hendak menuduh yang kita sekarang seolah tidak mempunyai kerajaan yang mentadbir negara dengan baik. Di mana-mana ada masalah.

"Sesungguhnya negara kita mempunyai ramai pemimpin tetapi tiada yang berkepimpinan," tulisnya lagi.

Beliau menambah, persoalan-persoalan yang sangat perlu diberikan perhatian secara menyeluruh tidak diselesaikan dengan cara yang betul dan munasabah.

"Jika kita susun dari atas hingga ke bawah masalah-masalah yang kita hadapi, yang sedar akan merasa ngeri melihat apa yang negara akan hadapi di hari muka," ulasnya lagi.

Pertamanya, kata beliau masalah keadaan negara kita sebagai negara Persekutuan itu sendiri belum mendapat penyelesaian sehinggakan ada negeri-negeri dalam negara kita sentiasa tidak berpuas hati kerana Perjanjian Persekutuan itu sendiri menjadi persoalan dari segi perlaksanaan secara jujurnya.

Menurut Aspan, masalah kedudukan Sabah dan Sarawak yang masih menjadi duri dalam daging bagi negara masih belum selesai dan ini mempengaruhi kestabilan politik negara secara jangka panjangnya.

"Isu ini adalah isu besar tetapi pemimpin kita masih bercakap tentang isu seperti BR1M dan yang lain yang saya sebutkan hanya seperti memberikan ubat penahan sakit sahaja dan tidak memberikan penyelesaian terhadap isu-isu besar negara kita.

"Pemimpin-pemimpin kita tahu masalah ini, tetapi mereka lebih cenderung untuk menyusupkan masalah ini di bawah permaidani. Kenapa mereka berbuat demikian?" tambahnya.

Jawapannya, ulas Aspan ialah mereka tidak tahu apa yang hendak dilakukan kerana mereka adalah pemimpin seperti yang beliau sebutkan sebagai pemimpin yang berjiwa fakir dan miskin dan tidak berani melakukan perubahan dan penyelesaian secara drastik dan ‘final’ bagi memastikan negara kita terletak di atas keadilan yang kesaksamaan yang utuh dan kuat untuk kekal sebagai negara yang demokratik yang benar dan betul.

No comments:

Post a Comment