Friday, June 20, 2014

Sesi parlimen hari ini dalam keadaan yang sangat memalukan: Mahfuz Omar


MUHAMMAD FAIZAL | .

Mahathir pun pernah kata parlimen 'rubber stamp'

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Dewan Rakyat menggantung Ahli Parlimen Bagan Serai tanpa sebarang perbahasan dan menolak segala peraturan mesyuarat yang dibangkitkan sebagai mengulangi kegelapan sistem parlimen Malaysia.

Bercakap pada sidang media hari ini, Ketua Pembangkang itu juga mendakwa apa yang berlaku hari ini menunjukkan parlimen seperti diperalatkan pihak tertentu.

"Kita bantah keras cara parlimen diperalatkan, tidak boleh bahas usul penggantungan ahli parlimen dan apabila peraturan mesyuarat dibangkitkan speaker mencari pelbagai alasan untuk menolak semua peraturan tersebut.

"Kemudian kata kepentingan awam, apa kepentingan awam, nak jaga kemulian parlimen, beginikan cara kita jaga kemulian parlimen, tidak boleh kritik dan tegur," katanya sejurus keluar dari Dewan Rakyat selepas usul penggantungan N Surendran diluluskan.

Surendran pernah digantung pada November lalu dan baru beberapa hari tamat dari penggantungan itu.

Beliau hari ini sekali lagi digantung enam bulan atas dakwaan menghina dewan.

Anwar sendiri juga pernah digantung ketika membangkitkan isu APCO pada penggal parlimen yang lalu.

"Saya masih ingat kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamed ketika menentang Tunku Abdul Rahman mengatakan parlimen digunakan sebagai 'rubber stamp', tiada tindakan diambil.

"Tetapi bila disebabkan Pakatan Raykat ia dikenakan tindakan, kalau orang Umno bising melolong dalam parlimen tidak ada seorang pun dikenakan tindakan.

"Inilah cara perlimen dikendalikan, kita tiada pilihan dan membantah cara ia dikendalikan," kata beliau.

Bawa ke CPA

Sementara itu, Ketua Whip Ahli Parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar menyifatkan sesi parlimen yang berakhir pada hari ini dalam keadaan yang sangat memalukan.

"Ini bagi saya suatu yang sangat malang dan boleh menyebabkan orang tidak menghormati speaker.

"Tindakan ini turut mendorong ahli-ahli parlimen terus mengkritik keputusan speaker yang tidak menghormati peraturan mesyuarat," katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena.

Beliau juga bercadang untuk merujuk tindakan hari ini kepada Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) Cawangan Malaysia dan Persatuan Parlimen Antarabangsa (IPU) berhubung pelanggaran peraturan mesyuarat yang dilakukan.

"kita mahu CPA dan IPU memberi perhatian khusus kepada apa yang berlaku hari ini, supaya setiap negara-negara berparlimen yang mengganggotai persatuan ini menghormati sistem parlimen dan tidak mencemarinya.

"Kita mahu parlimen di Malaysia bebas sepertimana di negara-negara barat, speaker bebas tanpa menyebelahi mana-mana pihak dan bagi saya apa yang berlaku hari ini cukup memalukan serta merupa satu sejarah hitam yang berulang," katanya. - HARAKAHDAILY 19/6/2014

No comments:

Post a Comment