Sunday, July 27, 2014

Isu MB: PKR pegang keputusan Majlis Pimpinan PR

sinarharian
Datuk Saifuddin Nasution Ismail 
  •  Datuk Saifuddin Nasution Ismail
SHAH ALAM - PKR akan terus berpegang kepada keputusan rasmi yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR pada Rabu lalu dalam isu pertukaran Menteri Besar Selangor.

Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, keputusan PKR untuk mencalonkan Presiden parti, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai menteri besar telah dibentangkan dan diterima di dalam Majlis Pimpinan PR.

"Mesyuarat itu membawa mandat dari parti masing-masing pada hari itu (23 Julai) mengesahkan komitmen setiap parti bahawa pada dasarnya, Pas dan DAP menghormati prinsip pencalonan jawatan menteri besar adalah dari PKR.
 
"Oleh yang demikian, PKR akan berpegang kepada keputusan rasmi Majlis Pimpinan PR itu dalam hal pertukaran Menteri Besar Selangor," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor berikutan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.

Abdul Hadi juga dilaporkan sebagai menyebut semua pimpinan Pas akan bersama dengan keputusan itu walaupun wujud perbezaan pandangan.

Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan, mekanisme untuk membuat keputusan tertinggi dalam PR telah dihormati sejak tertubuhnya perikatan itu.

Beliau berkata setiap parti diwakili oleh pimpinan tertinggi yang diberi mandat untuk menyampaikan keputusan parti masing-masing di peringkat PR.
 
"Kaedah dan prinsip inilah yang selama ini telah digunakan dalam menentukan menteri besar dan ketua menteri di negeri-negeri PR yang lain seperti Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
 
"Malah, dalam pergolakan membabitkan jawatan Menteri Besar Kedah sebelum PRU13, PKR mengambil pendirian menghormati sepenuhnya prinsip pencalonan jawatan itu adalah dari Pas walaupun ada pelbagai permintaan daripada pimpinan PR yang lain," katanya.
 
Dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR pada Rabu lalu itu, Pas telah diwakili oleh beberapa pimpinan tertingginya.

Antaranya Timbalan Presiden, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung, Datuk Mustapha Ali; Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Husam Musa; Ketua Pemuda, Suhaizan Kaiat serta AJK Pas Pusat, Dr Hatta Ramli.

No comments:

Post a Comment