Sunday, July 13, 2014

Penghuni wakaf hospital yang hidup melarat

13/7/14
Oleh Asmizan Mohd Samiran dan Ikram Ismail
Klang: Betapa sengsaranya seorang isteri apabila bukan saja bersuamikan lelaki yang pada zahirnya umpama ‘halimunan’, malah pada masa sama hidup terkontang-kanting dan terbiar seperti pengemis bersama empat anak tanpa tempat tinggal.

Episod sedih wanita ini dapat disaksikan apabila wartawan Metro Ahad bersama Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Klang, Umar Zakir Sayuti dan dua kakitangan jabatan itu menemui Rafedah Mohd Yusoff, 34, suaminya Zamri Ismail, 34, selain dua anak perempuan berusia tiga dan lapan tahun serta seorang anak lelaki berusia 10 tahun di sebuah wakaf bersebelahan surau Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, awal pagi Rabu lalu. 

Memilukan apabila mereka dalam keadaan tidak terurus dengan tiga kanak-kanak itu tidur berselerakan beralaskan lantai, cadar nipis dan bantal usang dalam kedinginan embun pagi, selain keadaan beg pakaian dan pakaian bersepah.
Bagaikan membongkar duka yang lama terpendam, Rafedah terlebih dulu memaklumkan dia sangat merindui seorang lagi anak lelakinya yang baru dilahirkan 1 Jun lalu, tetapi terpaksa ditempatkan di HTAR berikutan dia dalam keadaan tidak sesuai untuk menjaganya.
Foto

Katanya, dia sekeluarga hidup merempat sejak tiga bulan lalu selepas keluar dari kediaman yang disewa kerana tamat kontrak sewaan.

“Sewa rumah dulu dibayar Lembaga Zakat Selangor (LZS). Keadaan menjadi lebih buruk apabila suami sakit. Setiap hari dia mendakwa mendengar suara ghaib menyuruhnya berdiam diri dan kadangkala keluar bersendirian tanpa hala tuju sehingga dia seperti tidak mengenali saya dan anak, malah seolah-olah tidak wujud.

“Anak yang baru lahir itu langsung tidak dipedulikan. Tiada azan di telinga anak selepas dilahirkan, malah saya melahirkan anak itu di kawasan Tasik Shah Alam,” katanya sebak.myMetro

No comments:

Post a Comment