KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan parti itu akan terus bersama dengan Pakatan Rakyat.
Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada tindakan PKR
memecat keahlian Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada parti itu,
semalam.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepada semua peringkat kepimpinan
parti, ahli dan para penyokong supaya bertenang dalam menghadapi
konflik politik yang sedang di Selangor kini.
"Kepimpinan PAS sedang berada di tengah-tengah isu ini dan menangani
isu ini secara berhemah, cermat dan bijaksana bersama-sama dengan
kepimpinan Pakatan Rakyat yang lain," ujarnya ketika dihubungi
Harakahdaily sebentar tadi.
Beliau juga menjelaskan bahawa keempat-empat Exco Kerajaan Selangor
daripada PAS akan terus berkhidmat dan berfungsi kerana kerajaan negeri
masih wujud.
Mereka terdiri daripada Adun Chempaka, Iskandar Abdul Samad (Exco
Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar), Adun Sabak,
Sallehen Mukhyi (Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian, Pembangunan
Desa), Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali (Pendidikan dan Pendidikan
Tinggi, Pembangunan Modal Insan) dan Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus
Hairi (Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam). - HARAKAHDAILY 10/8/2014
No comments:
Post a Comment