Mustapa  
  •  Mustapa
SHAH ALAM – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed didesak untuk mendedah dan mengenakan sekatan ke atas aktiviti perniagaan syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan dagangan dengan Israel.

Menurut Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, data yang diperoleh daripada laman web Biro Statistik Israel pada tahun 2011 menunjukkan Malaysia telah mengeksport hasil sawit, kelapa, minyak sayuran bernilai kira-kira USD$19.41 juta, hasil koko bernilai USD$8.67 juta dan hasil getah bernilai USD$11.54 juta.

Berdasarkan statistik data yang diambil, beliau menggesa kerajaan supaya mendedahkan syarikat yang terlibat dalam mengeksport hasil bumi Malaysia ke negara Zionis tersebut.

“Hakikatnya, memang wujud hubungan perdagangan antara syarikat-syarikat Malaysia dengan Israel yang tidak diketahui umum.

“Pendedahan dan pelaksanaan sekatan ekonomi tersebut menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia tegas memprotes keganasan yang dilakukan Israel di wilayah Gaza,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyarankan kerajaan untuk mencontohi negara seperti Chile yang mengambil langkah untuk menggantung Perjanjian Perdagangan Bebas antara pihaknya dan Israel sebagai bantahan ke atas keganasan tentera negara itu.

“Pentadbiran Michele Bachelet telah mengutuk sekeras-kerasnya keganasan Israel ke atas Gaza, dan selepas rundingan dengan ahli kongres Patricio Vallespin, juga mengumumkan kerajaan Chile turut menggantung Perjanjian Perdagangan Bebas mereka. Naib Presiden Senat, Eugenio Tuma juga menegaskan bahawa mereka akan membawa bantahan mereka ke Persatuan Bangsa-bangsa bersatu, dan menuntut Israel untuk menghentikan pembunuhan orang awam di wilayah-wilayah Palestin.

“Selain daripada Chile, kerajaan Bolivia juga secara rasmi telah melabel Israel sebagai ‘Negara Pengganas’ berikutan jenayah perang yang dilakukan ke atas Gaza, malah, Ecuador, El Salvador dan Brazil juga telah mememanggil kembali Duta Besar mereka ke Israel,” katanya lagi.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai turut meminta kerajaan mengkaji semula posisi Malaysia dalam mengadakan perjanjian perdagangan bebas dengan Amerika Syarikat.

“Perkara ini perlu diambil kira, sebelum perjanjian seperti Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP) ditandatangani. Amerika Syarikat bersubahat dengan cara memberikan perlindungan dan menjadi pembekal senjata kepada Israel.

“Israel tidak mungkin mampu untuk melakukan keganasan di Gaza sekiranya Amerika Syarikat mengambil posisi yang tegas untuk memastikan keamanan dan keselamatan rakyat Palestin,” katanya lagi.