Monday, August 4, 2014

PCM jamin pemandu Karpal Singh

4 Aug 2014
Hampir sebulan merengkok dalam Penjara Taiping, pemandu kepada bekas Pengerusi DAP mendiang Karpal Singh bakal dibebaskan sementara menunggu kesnya dibicarakan, selepas diikat jamin oleh ‎Naib Presiden Parti Cinta Malaysia Datuk Huan Cheng Guan, hari ini.
 
Huan membayar ikat jamin C Selvam sebanyak RM5,000 di Mahkamah Majistret Kampar, kira-kira 9.30 pagi tadi dan dijangka dibebaskan daripada tahanan sementara pagi esok, lapor MyMetro.
 
Pada 9 Julai lalu, C Selvam didakwa di mahkamah sama kerana memandu dengan cuai hingga mengakibatkan kematian. 
 
Mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 sementara menunggu kesnya dibicarakan. Bagaimanapun, tiada pihak tampil membayar wang jaminan menyebabkan dia ditahan penjara.
 
Akhbar itu melaporkan, Huan tiba di mahkamah kira-kira 9.30 pagi tadi sebelum diiringi anggota polis ke bank berhampiran bagi membuat draf bank sebanyak RM5,000 bagi tujuan itu.‎
 
Kes Selvam akan disebut semula di mahkamah sama Rabu ini. 
 
Karpal dan pembantunya  Michael Cornandez maut dalam kemalangan di lebuh raya PLUS arah utara berhampiran Gua Tempurung pada 17 April lalu selepas kereta yang dinaiki berlanggar dengan sebuah lori. Malaysiakini

No comments:

Post a Comment