Jimmy (kanan) bersama Yuneswaran menunjukkan laporan polis yang dibuat kerana cubaan memburukkan imej PKR Johor pada sidang media, di sini, semalam. 
  •  Jimmy (kanan) bersama Yuneswaran menunjukkan laporan polis yang dibuat kerana cubaan memburukkan imej PKR Johor pada sidang media, di sini, semalam.
JOHOR BAHRU - PKR Johor mendakwa wujud cubaan melagakan parti itu dengan institusi beraja di negeri ini melalui penyebaran jemputan sidang media yang telah diubah oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Ketua Guaman PKR Johor, Jimmy Puah terkejut apabila mendapati jemputan sidang media yang bertajuk ‘Pemansuhan Akta Hasutan 1948’ telah ditukar kepada ‘Relevankah Institusi Beraja di Johor' dan Pemansuhan Akta Hasutan 1948.

Tegasnya, PKR negeri sentiasa menghormati sistem Raja Berpelembagaan di negara ini.

“Setiausaha Kerja PKR Johor, R Yuneswaran telah mendapati melalui media sosial berkenaan jemputan sidang media yang telah di email kepada para media telah diubah ke tajuk dan masa yang lain.

“Kita telah membuat laporan polis di Balai Polis Tampoi pada jam 11 malam semalam (kelmarin) kerana tindakan ini berniat tidak baik dan sengaja ingin memburukkan serta melagakan PKR dengan institusi beraja di negeri ini,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Jimmy yang juga Adun Bakar Batu dalam perkembangan lain berkata, PKR negeri ini menyokong pendirian PKR pusat dalam kempen dan gerakan memansuhkan Akta Hasutan 1948 yang telah rasmi dilancarkan 3 September lalu.

Menurutnya, PKR negeri ini bukan sahaja mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengotakan janji 2012 untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948, malah mengkritik dan meragui tindakan kerajaan yang melakukan pendakwaan terpilih.

“Kita sedih apabila bukan hanya ahli politik sahaja dikenakan Akta Hasutan 1948, tapi masyarakat dan media juga turut didakwa di bawah akta ini.

“Kerajaan sedang mengekang suara rakyat, sedangkan ‘trend’ ini sangat tidak sihat dari segi demokrasi," katanya.

Beliau berkata, PKR Johor sedia menyertai jelajah kempen memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan memberikan kerjasama 100 peratus untuk menjayakan kempen yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.