Friday, September 19, 2014

PAS syor profesional dan ulama duduk bersama dalam mencari kesepakatan


MUHAMMAD FAIZAL | .
BATU PAHAT: Perwakilan Negeri Sembilan, Mohd Khairil Anuar Mohd Wafa meminta dua golongan di dalam PAS iaitu profesional dan ulama duduk bersama dalam mencari kesepakatan dalam setiap keputusan.

Jelas beliau, tanpa perbincangan bersama menyebabkan wujud kenyataan berbeza yang mengelirukan banyak pihak.

"Kita dalam PAS ada dua golongan iaitu profesional yang berhujah melalui logik, strategi, analogi dan nombor.

"Manakala golongan Ulamak berhujah berdasarkan ilmu yang dipelajari.

"Adalah lebih baik kedua-dua golongan ini duduk bersama dalam berbincang bagi mencari keputusan yang berkesan," ucap beliau ketika berbahas ucapan dasar Presiden di Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat hari ini.

Namun katanya, setiap perbincangan keputusan akhir perlu dilakukan Majlis Syura Ulamak sebagai keputusan dari semua peringkat parti.

Beliau yakin melalui muafakat antara kedua-dua golongan ini akan menjadikan PAS sebuah parti yang utuh di bawa satu pendirian bersama.

"Kepakaran masing-masing perlu digabungkan, kita saling memerlukan ini yang diperkatakan konsep jemaah di dalam PAS.

"Jika ini dilakukan dan menjadi amalan, PAS akan dihormati serta dipandang hormat oleh semua pihak terutamanya anggota parti," ucap beliu lagi.

Dalam pada itu, Khairil turut meminta agar Majlis Syura Ulamak berbincang serta membuat ketetapan berhubung pendaftaran Pakatan Rakyat bagi menjayakan sistem dua parti.

"Kita daftar Pakatan Rakyat, tetapi jangan tiru Barisan Nasional (BN) yang mana ikatan itu diketuai Umno.

"Kita mahu parti di dalam Pakatan nampak seimbang, tidak ada lebih atau kurang dan ini bertujuan untuk memperlihatkan tiada siapa (parti) yang berkuasa di dalam gabungan Pakatan Rakyat," sambung beliau.
Sementara itu pandangan sama turut dikongsi wakil PAS Pulau Pinang, Izuri Ibrahim yang berpendapat gabungan kepimpinan ulama dan profesional menjadi adunan penting diperlukan dalam PAS untuk terus memacu  parti ini.

"Integrasi pemimpin ulama yang pakar dalam agama dan hukum dan profesional yang pakar dalam pentadbiran amat diperlukan oleh PAS buat masa ini.

"Kedua-dua ini perlu saling tolong menolong bukan saling hina-menghina, saling lemah melemahkan antara satu sama lain," katanya.

Dalam pada itu beliau mengingatkan bahawa PAS perlu menghormati institusi raja dan sultan.

Katanya sikap mulut celupar sehingga menghina isntitusi raja hanya akan merugikan parti untuk kelangsungan perjuangan parti. – HARAKAHDAILY 19/9/2014

No comments:

Post a Comment