Wednesday, September 17, 2014

Saya sendiri pun dikecam - TG Haron Din

NAZRI ABDULLAH | .
KULAIJAYA: Timbalan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Dr Haron Din melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan fitnah yang berlaku dalam PAS ketika ini.

Berucap ketika merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat ke-53 di IOI Palm Villa Golf and Country Resort hari ini, beliau berkata masalah PAS kini sudah diketahui umum akibat pertikaian terbuka khususnya di media maya.

Menurutnya, apa yang lebih mengecewakan apabila Majlis Syura, Presiden PAS turut dihina dan diperlekeh.

"Penjual kacang putih pun tahu masalah PAS, penjual cendol pun tahu.

"Syura ulamak dipertikai dan dihina, keputusan syura walaupun sebulat suara masih mereka kecam sampai hari ini diperlekeh secara terang-terangan.

"Saya sendiri dikecam kenapa terima kedatangan PM melawat saya di IJN. itu pun tak boleh," katanya.

Bagaimanapun katanya, dalam menangani masalah yang berlau, pimpinan dan ulamak mengambilnya dengan berlapang dada, bermuhasabah dan tidak membuat serangan balas.

"Mungkin dalam banyak teguran itu tak keluar dari prinsip "Agama itu nasihat", kata beliau lagi.

Berikut antara petikan ucapan yang disampaikan Tuan Guru Datuk Dr Haron Din sempena perasmian Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat hari ini.

1- Ada golongan penyokong yang tak faham, atau sengaja nak cari jalan menyusahkan perjuangan. Ini menyebabkan pertolongan Allah akan jadi lambat.
Maka kena garapkan program tarbiah. Mungkin ada terlepas pandang. Kurang mengenali latar belakang sebenar pimpinan, keihklasan perjuangan mereka.

2- Wala (ketaatan) kepada ketua, perkara paling simple sangat.
(Membacakan hadis Nabi-maksud lebih kurang). Dengarlah ketua itu walaupun diambil dari hamba Habashi, kepala macam zabit, rambut kerinting. Itu pun wajib taat
Kena taat kepada ketua dalam perkara suka atau tidak suka. Dan ini masalah utama yang kita hadapi sekarang ini.

3- Ada kadang-kadang pimpinan boleh buat keputusan seorang diri, tak ada maksiat padanya. Apabila kamu berazam maka berserah kepada Allah.

4- Allah benarkan kita bertahaluf (kerjasama politik) dengan golongan kuffar, pada ketika kita nampak keberuntungan kepada Islam itu jelas. Maka harus dan boleh tahaluf.
Kalau tahaluf dengan kuffar pun boleh, apakah tidak boleh bertahaluf dengan orang islam?
Kalau tahaluf tidak boleh, apakah tidak boleh taaruf (berkenalan)?
Kalau taaruf tidak boleh, apakah tidak boleh taawun (tolong-menolong)?
Begitu banyak lubang-lubang dan ruang untuk kita mencari jalan selesaikan masalah umat lebih-lebih lagi dalam suasana masyarakat negara kita pada hari ini semakin hari semakin lalai.

5-Tahaluf berlaku dengan dipimpin ulamak. Diadakan dengan rukun dan syarat yang mesti dipenuhi.
Selagi syarat dan rukun ini dipenuhi, maka ulamaklah yang menjadi benteng untuk pertahankan tahaluf demi kebaikan Islam dan jamaah bukan demi kebaikan individu.
Kalau syaratnya dilanggar, rukun dirobohkan, ulamak mesti memikirkan balik, memeriksa balik, kalau keadaan perlu diteruskan, teruskan.
Ulamak mesti baiki keadaan. Kalau tidak boleh juga, seperti contoh perkahwinan, walaupun tidak digalakkan  talak namun ruang ada. Ini semua tidak terlepas dari pandangan ulamak.

6- Saya nak sebutkan, jangan kamu bersengketa, berpecah belah. (Jika tidak) kamu akan gagal mencapai matlamat perjuangan kamu, Kamu akan hilang 'rih' (kekuatan) kamu.

7- Bersatu teguh dibawah kepimpinan ulamak. Mengajak mereka yang bermasalah dalam PAS dan seluruh ahli bertakwa kepada Allah. Perlu berkorban kepentingan diri dan duniawi demi jamaah. - HARAKAHDAILY 17/9/2014

No comments:

Post a Comment