Tuesday, September 2, 2014

Syarikat digesa dedah gaji CEO, pekerja biasa

sinarharian
Mohd Nizam Mahshar 
  •  Mohd Nizam Mahshar
SHAH ALAM - Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menggesa Suruhanjaya Sekuriti supaya mensyaratkan syarikat-syarikat yang tersenarai untuk menerbitkan kepelbagaian dalam laporan tahunan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nizam Mahshar berkata, langkah itu sejajar dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu sektor korporat itu menyenaraikan jantina, kumpulan etnik dan umur dalam organisasi masing-masing kepada umum bagi pengambilan pekerja.
“Ini akan membolehkan masyarakat awam dan juga para pemegang saham untuk bertanya jika ada syarikat Malaysia menjalankan pemprofilan kaum dalam pengambilan pekerja.

“Kami juga meminta syarikat-syarikat korporat di Malaysia untuk mendedahkan nisbah gaji ketua eksekutif dengan gaji pekerja biasa dalam syarikat,” katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.
Mengulas lanjut, Nizam menambah pihaknya juga meminta Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) agar memantau jumlah syarikat tersenarai di Malaysia yang membayar pekerja mereka pada tahap gaji yang paling rendah.

“MTEM menekankan bahawa pada 2013 menurut data gaji Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), hampir 4 juta daripada 13.5 juta pekerja Malaysia mendapat gaji kurang daripada RM2,000.
“Dalam erti kata lain, hampir 30 peratus daripada pekerja Malaysia hidup dengan gaji di bawah RM2,000 sebulan,” ujarnya.
Sementara itu, ketidaksamaan pendapatan di antara kaum perlu dihindari dalam mencapai matlamat berpendapatan tinggi untuk memastikan pengagihan kekayaan yang saksama di kalangan rakyat.

“MTEM juga percaya bahawa ketelusan ini amat diperlukan sebagai permulaan syarikat-syarikat di Malaysia untuk mempraktik amalan-amalan yang terbaik dalam menjalankan perniagaan agar memastikan pembahagian yang adil daripada pendapatan mereka diberikan sewajarnya kepada pekerja,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment