10 Oct 2014
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mempertahankan langkah menyenaraihitam peminjam ingkar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).
Ia susulan pengumuman PTPTN bahawa pinjaman itu akan dimasukkan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) bermula tahun depan.
Menurut Khairy, walaupun langkah itu ditentangnya tahun lalu, beliau kini menyokongnya selepas mendengar penjelasan PTPTN.
"Saya rasa cadangan terkini daripada PTPTN ini masuk akal. Lainlah kalau graduan baru yang susah hendak cari kerja menjadi sasaran.
"Ini mereka yang patut mula bayar empat tahun lepas dan sebelumnya yang langsung, (tapi) tidak buat apa-apa," kata Khairy menerusi kenyataan Facebook beliau.
Khairy yang juga menteri belia dan sukan, tidak seperti sebelum ini, peraturan baru PTPTN itu hanya akan memberi kesan kepada sebahagian graduan.
Ia melibatkan mereka yang menamatkan pengajian di antara tahun 1998 sehingga 2010 tetapi gagal membuat satu pembayaran sekali pun.
Jumlah itu meliputi 180,000 peminjam ingkar yang secara keseluruhannya berhutang sebanyak RM1.2 bilion kepada PTPTN.
Mustahil tak boleh bayar
"Mereka risau sebab apabila peminjam tidak membayar balik hutang PTPTN, tabung untuk memberi pinjaman kepada pemohon baharu semakin kurang.
"PTPTN hanya boleh diteruskan jika peminjam membayar hutang mereka. Barulah pinjaman baharu dapat diberi kepada orang lain.
"Kita kena ingat PTPTN adalah tabung pusingan. Kalau tak dibayar balik, anak muda masa akan datang takkan dapat kemudahan yang sama. Kita mesti adil kepada mereka," katanya lagi.
Menurut Khairy, PTPTN memaklumkannya bahawa adalah mustahil apabila sesetengah peminjam memberi alasan tidak mampu membuat bayaran semula walaupun sesen meskipun sudah tamat pengajian 14 tahun lepas.
Ada di antara mereka, kata Khairy memetik PTPTPN, bertugas sebagai penjawat awam dengan jawatan tetap tetapi masih enggan membayar.
Bagaimanapun menurut Khairy, peminjam yang tergolong dalam kategori miskin tegar pasti akan diberi pertimbangan oleh PTPTN.
Yang lain pula kata Khairy, dengan bayaran seminimum RM100 sebulan akan membolehkan mereka terkeluar daripada senarai hitam itu.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata apabila rancangan tersebut diumumkan kelak, peminjam ingkar mempunyai masa selama tiga bulan untuk membincangkan cara bagi membuat pembayaran.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment