Saturday, October 18, 2014

Lembah Sari: Kontrak RM77j tender terbuka

17/10/14

 
  Syarikat Lembah Sari Sdn Bhd yang mendapat penganugerahan kontrak label keselamatan arak bernilai RM77 juta daripada Jabatan Kastam Negara, menjelaskan pihaknya memperolehi kontrak itu melalui tender terbuka.
Menafikan dakwaan pihaknya memperoleh kontrak itu secara rundingan terus, syarikat itu menjelaskan pihaknya telah mengambil bahagian dalam tender terbuka dan dianugerahkannya bagi tujuan mengawal dan memantau hasil kutipan cukai kerajaan.

"Sebagai sebuah syarikat yang mempunyai hampir 10 tahun pengalaman dan kepakaran dalam menyediakan penyelesaian menyeluruh bagi melindungi hasil kerajaan, perlindungan jenama dan penyelesaian keselamatan dan produk, kami berkemampuan menyediakan perkhidmatan untuk merekabentuk, mencetak, menyimpan selamat, membekal dan mengedarkan produk keselamatan termasuk setem cukai," kenyataan syarikat itu dipetik.

Pada Rabu lalu, MP Petaling Jaya Utara Tony Pua mempertikaikan penganugerahan kontrak bernilai RM77 juta yang didakwa diberi secara rundingan terus kepada syarikat yang dilaporkan dimiliki Datuk Haris Onn Hussein -- adik Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Bagaimanapun Hishamuddin menafikan mempunyai kaitan pemberian kontrak kepada syarikat milik adiknya itu dan menegaskan label keselamatan untuk arak itu tidak terletak bawah seliaan kementeriannya.
 
Menurut kenyataan itu lagi, syarikat itu juga menjelaskan pihaknya membekalkan alat peranti pengesahan yang unik dan mengadakan latihan yang diperlukan.
Menurut Laman Sari lagi, kontrak itu bakal dilaksanakan dari 2014 sehingga 2019 dan bernilai RM77 juta atau RM15.4 juta setiap tahun bagi tempoh lima tahun dan penganugerahan itu telah disiarkan dalam laman web rasmi Jabatan Kastam.

No comments:

Post a Comment