Tuan Ibrahim Tuan Man  
  • Tuan Ibrahim Tuan Man
SHAH ALAM - Pas Pahang menggesa ahli parti itu supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti anjuran Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) seperti yang telah diarahkan oleh Majlis Syura Ulama Pas.
Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebagai badan tertinggi parti, Majlis Syura Ulama Pas bertanggungjawab memelihara keaslian parti itu daripada anasir yang boleh merosakkan parti.

Menurutnya, Pasma yang ditubuhkan atas matlamat kebajikan kini telah jauh menyimpang daripada tujuan asal.

"Sebagai sebuah NGO, sepatutnya ia fokus kepada soal kebajikan ahli dan anggota masyarakat, bukan mengadakan majlis bagi mempertikaikan Presiden (Pas) dan Majlis Syura atau keputusan parti.

"Apa erti kita berada dalam parti lalu mengadakan majlis bagi mempertikai kepimpinan parti, mempersoal perkara yang telah diputus oleh jemaah (parti) termasuk dasar dan perlembagaan parti?," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut Tuan Ibrahim, Pas Pahang akan memantau secara dekat sebarang aktiviti yang boleh merosakkan parti itu.

Beliau berkata, Pas mempunyai saluran bagi menyatakan sikap dan pandangan dan perbezaan pandangan dirai dalam ruang yang ada, bukan menambah kekeliruan dengan pelbagai kritikan yang tidak berasas serta tidak menguntungkan parti.