Keratan Sinar Harian semalam.  
  • Keratan Sinar Harian semalam.
IPOH – Dewan Ulama Pas Perak menyokong kenyataan Majlis Syura Ulama dalam menangani isu politik dalaman yang melibatkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma).
Ketuanya, Kamaruddin Awang Basir berkata, ia berikutan penonjolan tokoh dalam Pasma itu sendiri yang disifatkan tidak akan membantu dalam menyelesaikan masalah parti.

“Mana mungkin sebuah NGO boleh membongkar isu dalaman sedangkan mereka juga  merupakan pimpinan Pas di kawasan-kawasan tertentu.

“Apa yang mereka lakukan terkeluar dari adab-adab berjemaah dalam sebuah gerakan Islam diterapkan Pas, jadi ketetapan dibuat Majlis Syura Ulama ini adalah bertepatan dengan keadaan semasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Semalam, Pesuruhaya Pas Perak, Razman Zakaria menyatakan pendirian sama dan menggesa supaya ahli parti itu di negeri ini tidak terlibat dengan sebarang aktiviti anjuran Pasma seperti diarahkan Majlis Syura Ulama.

Kenyataan itu disokong Lajnah Perkaderan Ulama Pelapis Dewan Ulama Pas Perak yang menyifatkan penubuhan Pasma boleh membawa kepada perpecahan dalaman dan kekeliruan dalam kalangan ahli.

Ketuanya, Arman Yusop berkata, Pasma secara zahirnya dilihat lebih banyak mencetuskan propaganda yang tidak syarie dengan tuduhan dan mainan politik yang kurang baik.

“Kewujudan mereka dikatakan bagi menjaga hubungan PR, tapi ia tidak seperti yang dilakukan.

“Pesuruhjaya Pas berdiri selari dengan gesaan dibuat oleh Majlis Syura Ulama yang telah membuat keputusan baru-baru ini dan ia sepatutnya didokong oleh semua ahli dan kepimpinan bagi menjaga keutuhan parti,” katanya.

Sementara itu, Adun Sungai Rapat, Ir Radzi Zainon berkata, sepanjang pemantauannya, belum lagi kedengaran ada dalam kalangan ahli Pas yang menyertai Pasma khususnya di kawasan N43 Sungai Rapat.

“Jika nak kata di Perak saya mungkin tiada butirannya namun jika di kawasan saya, belum ada kedengaran ahli kita nak sertai Pasma sehingga kini dan perkara ini kita ambil maklum setelah Majlis Syura Ulama membuat kenyataan.

“Memang kita tak dengar cerita pasal perkara ini baik di Batu Gajah, Gopeng, Sungai Rapat dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya ada di kalangan kita yang akan menyertai Pasma,” katanya.