• Riduan Mohd Nor  
SHAH ALAM - Tidak perlu ke Syria, sertai Pas pun sudah jihad. kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Riduan Mohd Nor.
Menurut Riduan, Pas adalah jawapan terbaik bagi mereka yang mencari pahala untuk berjihad, berdakwah dan berkorban untuk perjuangan Islam.

" Kena faham faham erti jihad dan perjuangan sebenar. Jihad dan perjuangan Islam amat luas pengertiannya.

“Berdakwah kepada masyarakat yang jahil adalah jihad, berjuang menegakkan syariat Islam dalam ruang konteks demokrasi melalui pilihan raya  melalui parti politik adalah jihad, bercakap benar di hadapan pemimpin yang zalim juga adalah jihad, belajar ilmu pengetahuan dan menyampaikan ilmu juga adalah jihad," katanya.

Menurut beliau, Pas konsisten dengan pendekatan berjuang secara aman dalam meluaskan pengaruh dalam masyarakat.

"Kita tidak pernah sokong perjuangan secara kekerasan. Kita kecam sesiapa juga yang mengaitkan Pas dengan aktiviti militan kerana itu bukan cara kita. Saya kira ini cara licik mengaitkan kita dengan kumpulan militan hingga menyebabkan kita dipandang seorang oleh orang bukan Islam, " katanya.

Bagai menyekat resapan pengaruh militan dalam kalangan rakyat negara ini, Riduan mencadangkan kerajaan supaya membanyakkan lagi program Islamik untuk meningkatkan kesedaran sekali gus membersihkan semula imej Islam yang terjejas.