Foto Twitter  JDT Cyber Fan Club  
  •  Foto Twitter JDT Cyber Fan Club
JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selesai menyempurnakan istiadat pertunangan, majlis hantaran dan pernikahan dengan Cik Puan Khaleeda Bustamam, sebentar tadi.
Tunku Ismail bersama Cik Puan Khaleeda berangkat memasuki pekarangan Istana Bukit Serene, di sini tepat jam 10 pagi dan keluar sekitar jam 12 tengahari selepas sah bergelar suami isteri.

Pasangan diRaja yang mengenakan busana pengantin berwarna putih sempat melontarkan senyuman dan melambaikan tangan ke arah wartawan serta jurugambar di luar pekarangan istana.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan anakandanya, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar serta Tunku Putra Johor, Tunku Abu Bakar dilihat berangkat hadir ke istiadat itu.

Turut kelihatan hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor  dan tetamu kenamaan yang mula memasuki pekarangan istana kira-kira jam 8 pagi.

Istiadat akad nikah disempurnakan oleh Mufti Johor, Sohibus Samahah Datuk Mohd Tahrir Samsudin.

Kesemua majlis istiadat dilaksanakan mengikut adat Melayu dan DiRaja Johor selain ada unsur ketenteraan.

Pasangan diRaja itu dijangka disandingkan di Istana Besar Johor, di sini, pada jam 7.30 malam, 8 November ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: TMJ, Cik Khaleeda nikah hari ini]