Wednesday, October 15, 2014

UIA Kuantan sekat program Raja Azmi

15 Oct 2014

Universiti Islam Antarabangsa (UIA) kampus Kuantan didakwa menyekat penulis dan pengarah filem terkenal Raja Azmi Sulaiman daripada sesi perkongsian proses kreatif pengkaryaannya dengan mahasiswa universiti itu.

Penerbit novel terbarunya Karkuma berkata, program yang dijadual diadakan pada Sabtu depan terpaksa diubah tempat setelah universiti memberi alasan tidak selesa dengan “unsur seks dan fantasi melampau” dalam karyanya.

Merpati Jingga juga mendakwa, pentadbiran universiti juga mempertikaikan faedah buku Raja Azmi berbanding buku-buku ilmiah yang lain.

“(Ini) jelas menunjukkan bahawa pihak berwajib dalam UIAM Kuantan membuat pertuduhan yang melulu,” kata pengarah syarikat penerbitan bebas itu Faisal Mustaffa (kanan).

“Raja Azmi juga pernah menerbitkan buku-buku ajaran solat untuk kanak-kanak, buku komik Anak-anak Sidek yang berunsurkan patriotik untuk generasi muda dan skrip-skrip drama yang berunsurkan keagamaan di samping buku novel politik yang pro kerajaan pemerintah.”

Mempertahankan buku yang diterbitkannya, Faisal berkata, Karkuma sebenarnya tidak mempunyai halaman memaparkan adegan seks seperti didakwa.

“Kami juga berpandangan bahawa pihak pengurusan UIAM Kuantan seolah-seolah berperanan sebagai polis moral yang membentuk acuan yang dikehendaki pihak UIAM Kuantan.,” kata Faisal.

Pertemuan dengan mahasiswa itu asalnya dianjurkan sempena hari terbuka kampus itu yang sedang mengadakan istiadat konvokesyennya.

Sebagai reaksi terhadap larangan itu, Merpati Jingga juga menarik balik penyertaan mereka dalam program yang telah dipersetujui bersama UIA Kuantan untuk hari terbuka itu.

Program Raja Azmi itu kini dialih pada tarikh sama ke Kolej Matrikulasi Labuan.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan reaksi Raja Azmi dan UIA Kuntan berhubung kejadian itu. 
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment