Friday, November 28, 2014

Apakah Mashitah ingin lihat artis-artis kita terus hanyut?

AHMAD DANIAL | .
MELAKA: Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka mengecam kenyataan Ketua Wanita Umno Baling, Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang mempersoalkan tindakan artis-artis Malaysia yang ramai berhijrah mendekatkan diri kepada Allah.

Ketua Penerangannya, Mahani Othman Basir berkata kenyataan Mashitah tersebut sebenarnya mengguris hati dan perasan artis-artis yang berhijrah. (Foto: Aishah dan Abby Abadi dalam satu program di My Harakah Bazaar.)

Ini, ujarnya kerana seolah-olah Umno dan Mashitah tidak setuju dengan tindakan mereka yang memakai tudung, memakai kopiah dan menyampaikan tazkirah dan ceramah dalam program-program yang melibatkan orang ramai.

"Kita sepatutnya menyokong dan memberi galakan kepada mereka kerana tindakan mereka berhijrah adalah sangat baik dan dialu-alukan. Dulunya mereka tidak menutup aurat, lalai, memakai pakaian yang menjolok mata dan tidak sopan, bila berubah kita pula tidak suka kepada mereka.

"Artis-artis kita yang berhijrah bukannya setakat berubah dari segi pakaian dan tingkah laku tetapi mereka juga menghadiri kelas-kelas agama, usrah dan program-program pendidikan agama bagi mendalami Islam," ujar Mahani.

Mahani berkata apa salahnya mereka menyampaikan tazkirah dan ucapan dalam program ceramah dan forum asalkan tidak mengelirukan orang ramai.
Menurutnya, mereka bukannya menjatuh hukum atau memberi fatwa sebaliknya hanya berkongsi pengalaman dan pandangan dalam ruang lingkup ilmu dan pandangan mereka khususnya berkaitan dunia hiburan.

"Tindakan berhijrah sepatutnya dialu-alukan. Apakah Mashitah ingin terus melihat artis-artis kita terus hanyut dengan dunia lalai dan hedonisme mereka yang tidak terkawal?" soal Mahani.

Beliau berkata Mashitah mesti memohon maaf kepada semua artis-artis yang berhijrah dan mesti memberikan sokongan kepada semua artis yang telah dan akan berhijrah menjadi hamba Allah yang lebih baik.

Menurutnya, tindakan Mashitah mengecam artis-artis yang berhijrah itu sebenarnya didorong oleh sentimen politik.
Ini, katanya kerana ramai artis yang berhijrah menyatakan sokongan terbuka kepada PAS dan PR malah ramai yang membantu pada Pilihanraya Umum ke-13 lalu. - HARAKAHDAILY 28/11/2014

No comments:

Post a Comment