PAS
Kedah mempertikaikan sikap Kerajaan Barisan Nasional Kedah yang
berterusan menyalahkan Pakatan Rakyat dalam isu pembinaan Kampus Kolej
Universiti Insaniah (Kuin) di Kuala Ketil.
Yang terbaru, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan
Kerja Raya Negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain ketika sesi penggulungan
Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah mengatakan pembinaan kampus tersebut
adalah kesilapan pelaburan yang dibuat oleh Kerajaan Pakatan Rakyat
sebelum ini.
Hal ini jelas menampakkan BN menafikan bahawa betapa pentingnya
sektor pendidikan untuk pembangunan modal insan dan BN lebih
mementingkan soal untung rugi sahaja.
Ironinya, Kerajaan BN di peringkat Persekutuan dalam setiap kali
pembentangan Bajet pastinya memberikan peruntukan yang tertinggi dalam
sektor pendidikan. Yang terbaru untuk Bajet 2015, sebanyak RM56 bilion
diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan.
Pelaburan pendidikan adalah bersifat menguntungkan untuk jangka masa
panjang, maka atas aspirasi inilah yang membuatkan Almarhum Tan Sri
Ustaz Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Kedah ketika itu sanggup
mengambil risiko bersusah payah untuk menaiktaraf kolej universiti
tersebut. Dengan pembinaan kampus yang lebih selesa bersesuaian dengan
pertambahan jurusan pengajian yang ditawarkan untuk menampung keperluan
7,000 pelajar.
Perbuatan Kerajaan BN Kedah membangkit dan mempersoalkan pembinaan
Insaniah ini samalah seperti mempersoal dan menghina Seri Paduka Baginda
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang telah
memperkenan dan merasmi pembukaan kampus Insaniah yang menjadi lambang
kebanggaan Kedah ini pada 29 Januari 2013.
Bukankah dengan terhasilnya ramai graduan Insaniah dalam pelbagai
bidang akan dapat membangunkan lagi modal insan dan sekaligus menjadi
penyumbang ke arah pembangunan Kedah sendiri?
Sesungguhnya, pelaburan untuk pembangunan modal insan amatlah tidak
ternilai harganya. Amatlah malang apabila pembinaan Insaniah ini
dikatakan membazir, sedangkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz
Mahathir sanggup berbelanja jutaan ringgit hanya untuk membuat
pengubahsuaian kediaman rasmi beliau berserta taman pokok kurma.
Bukankah RM4.3 Juta wang rakyat dibelanjakan untuk kepentingan kecantikan dan kemewahan itu adalah satu pembaziran yang nyata?
PAS Kedah mendesak Kerajaan Barisan Nasional agar mengambil sifat
tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan yang telah dipilih rakyat pada
PRU13 yang lalu untuk menyelesaikan isu Insaniah ini dengan sebijaknya.
Usah kerana dendam politik sehingga sanggup menggadaikan harapan dan
impian sekalian rakyat yang ingin melihat Insaniah terus mekar
berkembang ke tahap yang lebih cemerlang. - HARAKAHDAILY 22/11/2014
Penuis ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
No comments:
Post a Comment