MIRI:
Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang juga dikenali sebagai VAT
atau cukai nilai tambah di kebanyakan negara adalah cukai penggunaan
pelbagai peringkat ke atas barangan dan perkhidmatan.
GST dikenakan ke atas pembekalan barangan dan perkhidmatan di setiap
peringkat rangkaian bekalan daripada pembekal sehingga peringkat
peruncitan daripada pengagihan.
Walaupun GST dikenakan di setiap peringkat rangkaian bekalan, elemen
cukai tidak menjadi sebahagian daripada kos produk kerana GST yang
dibayar ke atas input perniagaan boleh dituntut.
"Kita dapati ada sesetengah perkhidmatan sudah dikenakan cukai
perkhidmatan atau GST sebelum masuk tahun baru 2015," kata Timbalan
Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, antara perkhidmatan yang sudah lama dikenakan cukai
perkhidmatan ialah bil telefon dan juga beberapa francais makanan
segera.
"Kita juga dapati kawasan parkir di lapangan terbang Miri juga
dikenakan GST seperti mengenakan cukai perkhidmatan bil telefon sebelum
tiba masanya," ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Miri.
Katanya, kebanyakan pengguna terutama yang tinggal di luar bandar
masih lagi keliru dan kurang faham dengan GST yang akan dikenakan pada 1
April 2015 nanti.
Beliau menambah, GST bukan saja membebankan pengguna tetapi ianya
juga akan memberi kesan kepada pengguna yang berpendapatan kecil yang
terpaksa menanggung kos barangan yang mereka gunakan.
Katanya lagi, kebanyakan syarikat perniagaan sudah mengenakan GST atau cukai perkhidmatan kepada pengguna tanpa disedari.
Justeru, ujarnya adalah menjadi tanggungjawab pihak kerajaan
menerangkan kepada pengguna apa sebenarnya GST dan kesannya kepada
pengguna.
"Kita menggesa pihak kerajaan menyenaraikan barangan yang sudah
dikenakan GST dan juga yang akan dikenakan pada 1 April 2015 nanti
supaya pengguna tidak keliru dengan GST yang sebenarnya," katanya.
Menurutnya, memandangkan banyak subsidi sudah dimansuhkan termasuk
subsidi petrol, maka sewajarnya caj GST yang dikenakan kepada pengguna
perlu dikaji semula agar ianya tidak membebankan pengguna kerana
pengguna tidak dapat menuntut balik pembelanjaan mereka dari Lembaga
Hasil Dalam Negeri seperti para peniaga yang mendaftar dengan GST.
Sehubungan itu, kata beliau kerjasama dengan pihak kerajaan untuk
mengkaji semula GST dengan caj yang berpatutan supaya ianya tidak
membebankan rakyat yang menghadapi inflasi sekarang amat dihargai. - HARAKAHDAILY 24/11/2014
No comments:
Post a Comment