Monday, November 10, 2014

'SIS cuba heret institusi agama ke mahkamah sivil'

9 Nov 2014

Tindakan Sisters In Islam (SIS) mencabar fatwa yang menyifatkan NGO hak wanita itu sebagai sesat cuba mengheret institusi Islam untuk dibicarakan di mahkamah sivil, kata Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Tanpa merujuk secara langsung kepada mana-mana pihak, menteri di Jabatan Perdana Menteri juga memberi amaran berhubung “agenda di luar Islam” yang didakwanya bersungguh-sungguh untuk memesongkan akidah umat Islam melalui pelbagai cara.

“Oleh itu, adalah penting umat Islam untuk berwaspada dengan fahaman ini demi mempertahankan akidah Islam,” katanya.

Semakan kehakiman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Oktober lalu oleh Pengarah Eksekutif SIS Ratna Othman dan ahli lembaganya Datin Paduka Marina Mahathir.

Dua lagi perayu bersama semakan itu ialah bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim dan aktivis hak wanita Zainah Anwar yang menamakan diri mereka "orang Islam yang prihatin."

Fatwa diwartakan pada 31 Julai lalu itu menyebut liberalisme dan pluralisme sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Fatwa juga berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) harus menyekat laman sosial berkaitannya di samping menyeru pihak terbabit bertaubat.

Dalam kenyataannya hari ini, Jamil juga berkata, institusi Islam seperti majlis agama Islam negeri harus berganding bahu menghadapi “gelombang tentangan bentuk baru” terhadap Islam.

Beliau juga mengingatkan kes berkaitan fatwa ESQ Leadership Centre Sdn Bhd pada tahun 2010 yang mana permohonan mencabar fatwa di mahkamah sivil ditolak kerana mahkamah itu tidak mempunyai kuasa mendengar kes-kes berkaitan fatwa dan syariah.

SIS pada 31 Oktober memfailkan semakan kehakiman ke atas fatwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang SIS Forum dan mana-mana pihak yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama.
 Malaysiakini

No comments:

Post a Comment