Wednesday, November 5, 2014

Video buli: Orang ramai marah, Maktab Mahmud difitnah

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Rakaman video memaparkan sekumpulan pelajar asrama dipukul pelajar lain yang tersebar di media sosial sejak semalam, membangkitkan rasa marah orang ramai terhadap pelajar terbabit.

Rata-rata menggesa pihak polis menyiasat video itu dan mahu si pelaku khususnya seorang pelajar yang memakai singlet hitam yang dilihat bertindak ganas di dalam video itu diambil tindakan.

Video berdurasi 4 minit 36 saat itu memaparkan seorang mangsa dipukul dan ditendang tanpa belas kasihan berkali-kali sehingga jatuh terduduk.

Dalam pada itu ada juga dikalangan pengguna melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan anak-anak mereka yang dihantar ke asrama apabila banyak kes buli berlaku sejak akhir-akhir ini.

Sementara itu, Maktab Mahmud Padang Terap yang dikaitkan dengan tempat kejadian itu didakwa berlaku, menafikan perkara itu.

Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajarnya, Mohd Zulqurnain Mohd Yusoff berkata kejadian buli dalam video yang tersebar itu, bukan di pusat pengajian itu.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan daripada waris yang tidak dikenali pada awal pagi selepas videoitu tersebar di laman sosial sejak kelmarin.

"Jika dilihat dalam video itu, asrama lokasi kejadian mempunyai satu daun pintu manakala asrama di sini pula mempunyai dua daun pintu.

"Besi katil di dalam video itu berwarna hitam sedangkan di sini ia berwarna kelabu. Dinding di asrama ini berwarna putih berbanding di dalam video, berwarna hijau kuning,” katanya dipetik sebuah portal.

Sehubungan itu, pihak maktab katanya turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap pada jam 2.20 petang semalam. - HARAKAHDAILY 5/10/2014

No comments:

Post a Comment