Keadaan sebuah rumah yang tercabut bumbung.  
  • Keadaan sebuah rumah yang tercabut bumbung.
GUA MUSANG - Kejadian banjir besar melanda beberapa kampung sekitar Bandar Lama, di sini, sejak dua hari lalu semakin pulih mulai pagi semalam, selepas hujan berhenti dan air Sungai Galas serta  Sungai Ketil surut.
Namun kejadian banjir besar kali ini pastinya meninggalkan memori pahit buat mangsa banjir selepas 43 rumah membabitkan tujuh kampung di sini, dihanyutkan arus deras.

Kampung tersebut ialah Kampung Lembaga (10 rumah), Kampung Baru Hulu (10 rumah), Jalan Masjid (enam rumah), Kolam Mas (empat rumah), Kampung Tiong (lima rumah), Kundur  (tujuh rumah) dan Kampung Setinggan Keretapi (satu rumah).

Selain rumah hanyut, sekurang-kurangnya 100 rumah rosak teruk, malah ada yang hampir roboh menyembah bumi.

Mangsa banjir yang kehilangan tempat tinggal dan rumah rosak masih tinggal di pusat pemindahan disediakan, sementara yang lain telah pulang ke rumah masing-masing.

Tak dapat gambarkan kesedihan hilang rumah
Seorang mangsa banjir, Ismail Mahmud, 80, berkata, banjir kali ini mencatat sejarah dalam hidupnya kerana tidak pernah lagi berdepan dengan banjir terburuk sejak menetap di Kampung Lembaga, 40 tahun lalu.

Menurutnya, dia berdepan dengan detik cemas ketika diarahkan berpindah dan belum hilang lagi perasaan takut itu, dia sekali lagi diuji apabila rumahnya hilang dihanyutkan arus deras.

"Memang tak dapat digambarkan kesedihan hilang tempat tinggal tetapi pakcik reda dengan takdir Tuhan.

“Ketika pakcik berpindah ke pusat pemindahan, keadaan rumah pakcik masih sempurna dan kukuh, begitu juga rumah jiran yang lain.    

“Ini semua ujian Tuhan dan pakcik menerimanya walaupun selepas ini terpaksa memikirkan cara untuk membina rumah baharu selepas ini," katanya.
 
Selamatkan ibu, anak saudara
Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Zulkifli Setapa, 29, berkata, sejak seminggu lalu dia sentiasa berada di rumah di Kampung Lembaga kerana tidak sedap hati untuk meninggalkan ibunya, Mek Nab Ismail, 70, bersendirian.

Menurutnya, kebiasaannya dia jarang di rumah kerana mengikuti program Adun Galas, Ab Aziz Yusof ke merata tempat, khususnya menziarahi penduduk sakit.

"Disebabkan cuaca yang tidak mengizinkan kerana hujan lebat beberapa hari lalu, saya tidak berani meninggalkan ibu keseorangan walaupun ada beberapa anak saudara tinggal bersamanya.

“Ketika kejadian banjir besar itu, saya segera heret tangan ibu bersama lima anak saudara untuk mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan dan selepas itu, saya lihat rumah ibu dihanyutkan arus deras," katanya.

Zulkifli berkata, buat sementara waktu ini, mereka mungkin akan tinggal di pusat pemindahan banjir .

"Selepas ini saya akan bantu membersihkan rumah abang yang turut tenggelam akibat banjir, tidak jauh dari sini," katanya.