Suhaimi dipenjara selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam. 
  •  Suhaimi dipenjara selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki terpaksa meringkuk di tirai besi selama empat bulan gara-gara bertindak mengikut perasaan dengan menendang punggung isterinya sehingga mengalami kesakitan.
Suhaimi Muhktar, 38, dari Kampung Banggol Tok Badir, Serada, di sini, dijatuhi hukuman berkenaan selepas mengaku salah dengan sengaja menendang dan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, Khatijah Mohamad, 28, di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Dia mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu pada 8 Disember lalu, jam lebih kurang 7.45 malam, di kediaman mereka di Kampung Tok Badir, Serada, di sini.

Dengan itu, Suhaimi mengaku salah melakukan kesalahan memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai setahun atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

Berdasarkan fakta kes, mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga yang memaklumkan suaminya, Suhaimi telah bertindak menendang punggungnya dengan menggunakan kaki.

Susulan laporan itu, Suhaimi ditahan dan hasil siasatan awal, dia mengaku bertindak mengamuk dan menendang punggung mangsa sebanyak sekali sehingga mendapat kesakitan.

Dia mengaku melakukan perbuatan itu di kediaman mereka di Kampung Tok Badir, Banggol Katong, Serada, di sini, pada 8 Disember lalu, jam lebih kurang 7.45 malam.