Hilmi ketika meninjau ke rumahnya, semalam. 
  •  Hilmi ketika meninjau ke rumahnya, semalam.
KOTA BHARU - Bagai satu mimpi ngeri dan hati menangis sekuatnya sebaik sahaja melihat rumah yang didiami lebih 30 tahun tenggelam dalam arus banjir yang deras.
Menceritakan detik itu, mangsa pemindahan,  Hilmi Mohd Yaidin, 34, berkata, itulah pengalaman kali pertamanya hanya mampu melihat dari jauh rumahnya hanya tinggal sedikit bumbung.

“Nasib baik kami sempat berpindah awal dan kami memang bersedia berpindah kerana rumah terletak di tepi sungai Pasir Tumboh.

“Rumah di kawasan ini memang dibina tinggi, tetapi banjir kali ini amat mengejutkan dan hati saya luluh melihatnya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Rumah Hilmi terletak kira-kira 100 meter di tepi sungai Pasir Tumboh.

“Biasanya kalau banjir paling teruk sekalipun, air hanya separas dada orang dewasa, tetapi kali ini empat kali ganda tinggi arasnya,” katanya.

Kata Hilmi, sedih macam mana sekalipun, enam beranak yang tinggal dalam rumah tersebut tetap tabah dan redha.

Percaya ada hikmah terselindung di sebalik semua yang terjadi, mereka kini tidak sabar menunggu air surut.

“Sehingga kini, air hanya surut sekali sahaja, tidak sabar melihat bagaimana keadaan harta benda di dalam rumah selepas ini.

“Lebih RM100,000 nilai barangan seperti perabot, peti ais, mesin basuh dan televisyen yang rosak, tidak termasuk nilai kerosakan pada rumah,” katanya yang juga serang guru mengajar di Johor dan kini bercuti di kampung di belakang pasar lama Pasir Tumboh.