Sebahagian pengemis yang ditangkap di sekitar Pasar Siti Khadijah dibawa menaiki trak MPKB-BRI, semalam 
  •  Sebahagian pengemis yang ditangkap di sekitar Pasar Siti Khadijah dibawa menaiki trak MPKB-BRI, semalam
1 / 1
KOTA BHARU - “Saya mahu pulang ke rumah keluarga,” kata Zulkifli Ismail, 33, yang sudah empat tahun dia menjadikan Masjid Muhammadi sebagai tempatnya tidur.
Mengakui berkecil hati dalam sedikit perselisihan faham bersama adik-beradiknya, sambil menangis Zulkifli menyatakan hasrat mahu ke pangkuan keluarga terutama di rumah ibunya, Siti Khadijah Wok, 70.

Orang kelainan upaya (OKU) itu sebenarnya sudah tiga kali ditangkap setiap kali ada operasi yang dijalankan pihak berkaitan, namun masih belum serik dan terus tinggal di tempat ibadah berkenaan.

“Tak siapa mahu tidur di masjid, tetapi kali ini saya rasa ingin balik, saya mahu bantu ibu di kedai runcitnya,” katanya yang berasal dari Pasir Pekan, Tumpat dan penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat (EPC) RM300 sebulan.

Selain Zulkifli  yang dianggap kutu rayau, lapan lagi pengemis warga asing dari Thailand turut ditangkap dalam satu Operasi Bersepadu Menyelamatkan Pengemis dan Kutu Rayau ‘Ops Cakna’ di sekitar bandar Kota Bharu yang dianjurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri dan beberapa agensi lain.

Bagi pengemis dari Narathiwat, Thailand, Abdullah Yaacob, 30, berkata, dia baru sahaja sampai dari negara sempadan itu dua hari lalu.

“Di sana (Thailand) sukar mencari rezeki, saya tinggalkan isteri dan datang meminta sedekah di sini untuk meneruskan hidup seharian,” katanya yang mengalami kecacatan kedua-dua kaki dan tangan, serta ditangkap semasa mengemis di Pasar Siti Khadijah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Nik Omar Nik Ab Rahman berkata, sejak Januari hingga November tahun ini, sebanyak 26 operasi bersepadu kutu rayau dan pengemis dijalankan di Kota Bharu.

“Bagi tempoh berkenaan, 25 orang ditangkap termasuk sembilan warga asing dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan seterusnya. Seramai 14 orang pula diberi amaran dan diserahkan kepada keluarga, manakala dua lagi dihantar di Desa Bina Diri di Mersing dan Jerantut,” katanya.

Beliau berkata, operasi semasa dilakukan serentak di kawasan Pasar Mundok dan bank-bank di sekitar Pasir Mas, manakala di Kota Bharu, ia dilakukan bersama beberapa agensi lain termasuk Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Sambil menyatakan kekesalan kerana operasi berkenaan seolah-olah sudah diketahui pengemis dan kutu rayau berkenaan, beliau tidak menolak kemungkinan ada pemberi maklumat dari kalangan ‘orang dalam’ dan orang ramai kepada mereka.

“Kita mahu ‘bersihkan’ kutu rayau dan orang papa di bandar Kota Bharu kerana mereka mencacatkan pemandangan, gangguan dan ‘pencemaran’ secara kemanusiaan, mahupun agama.

“Mereka yang terlibat dengan kegiatan kutu rayau dan orang papa, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah seksyen 3 (4), Akta Orang Papa 1977 dan semua daerah akan meneruskan operasi sekurang-kurangnya sebulan sekali termasuk di daerah kecil,” katanya.