Beberapa pemimpin DAP Perak memakai kasut tinggi ketika Kempen Riben Putih ‘Walk In Her Shoes’di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, semalam. 
  •  Beberapa pemimpin DAP Perak memakai kasut tinggi ketika Kempen Riben Putih ‘Walk In Her Shoes’di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, semalam.
IPOH - Golongan lelaki tanpa mengira usia berjalan kaki dengan memakai kasut tumit tinggi sempena Kempen Riben Putih ‘Walk In Her Shoes’ di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, di sini, semalam.

Program anjuran DAP Perak dengan kerjasama Wanita DAP Perak dan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) itu diadakan untuk memberikan kesedaran dan menyalurkan maklumat mengenai cara berdepan konflik keganasan membabitkan wanita serta kanak-kanak.

Ketua Wanita DAP Perak, Lim Pek Har berkata, lelaki seharusnya memainkan peranan penting dalam melindungi wanita dan beberapa perkara boleh dilakukan bagi menghentikan keganasan.
“Lelaki sepatutnya dengar dan fahami masalah wanita. Mereka perlu waspada untuk memastikan wanita tidak menjadi mangsa gangguan seksual di tempat kerja, sekolah atau dalam kalangan keluarga.

“Sepanjang kempen selama 16 hari ini, lelaki dan wanita digalakkan memakai riben putih untuk menunjukkan tanda sokongan mereka terhadap wanita,” katanya yang ditemui selepas program itu semalam.

Turut serta, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh dan Pengerusi Biro Pendidikan Politik DAP Perak, Loh Sze Yee.

Kor Ming berkata, simbolik lelaki memakai kasut tumit tinggi adalah untuk memberi mereka peluang merasai sendiri bagaimana sekiranya mereka berada di tempat wanita.

“Kami ingin menunjukkan lelaki bersedia main peranan penting dalam menangani isu keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak.

“Kami harap kempen ini sedikit sebanyak dapat membantu menyedarkan masyarakat supaya bersama-sama dapat menamatkan keganasan terhadap wanita,” katanya.

Jurulatih kecergasan, Sham Chiew Mun, 43, berkata, pertama kali dia merasai bagaimana susah berjalan menggunakan kasut tumit tinggi.

“Saya hairan kenapa wanita sanggup pakai kasut itu kerana saya rasa susah untuk imbangi badan.

“Tetapi, apabila memakai sendiri kasut itu baru saya faham betapa susah menjadi wanita dan sebagai lelaki kita seharusnya sayang dan lindungi mereka sebaik mungkin,” katanya.