Antara suspek yang ditahan dalam Ops Dadu Khas di sebuah wakaf di atas perkuburan Cina, di Jalan Pusara, di sini.  
  • Antara suspek yang ditahan dalam Ops Dadu Khas di sebuah wakaf di atas perkuburan Cina, di Jalan Pusara, di sini.
KUALA TERENGGANU - Dek kerana terlalu gian, 13 kaki judi sanggup menjadikan sebuah wakaf di atas perkuburan Cina, Jalan Pusara, di sini, sebagai ‘port’ melepaskan gian bermain judi daun terup.
Aktiviti tidak sihat itu terbongkar apabila kesemuanya yang berusia antara 50 hingga 75 tahun dicekup sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu sempena Ops Dadu Khas, kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, kesemua lelaki berkenaan ditahan hasil maklumat awam dan intipan yang mengambil masa lebih kurang 10 minit di kawasan perkuburan berkenaan.

“Ketika intipan dijalankan, didapati kesemua mereka sedang leka bermain judi daun terup sehinggakan langsung tidak menyedari kehadiran kami di lokasi berkenaan.

“Namun, sebaik memperkenalkan diri, mereka agak terkejut dan ada yang cuba melarikan diri bagi mengelak dicekup tetapi gagal berikutan kawasan sekeliling sudah dikepung,” katanya.

Jelasnya, hasil pemeriksaan, polis merampas 112 keping daun terup, sekeping papan bersaiz empat segi, 14 biji batu dan wang tunai RM153 yang dipercayai digunakan sebagai pertaruhan.

“Hasil siasatan awal juga, sembilan daripada mereka tidak mengaku bermain malah mendakwa datang ke lokasi berkenaan hanya sebagai penonton semata-mata.

“Bagaimanapun, apa jua alasan dan dakwaan yang diberikan siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.