Wednesday, December 31, 2014

PAS Kedah bantu mangsa banjir Kelantan

BASHIR ISHAK | .
ALOR SETAR: PAS Kedah akan menghantar kira-kira 500 sukarelawan ke Kelantan mulai 1 hingga 10 Januari ini bagi membantu mangsa banjir, khususnya dalam kerja-kerja pembersihan premis yang terbabit dengan banjir.

Menurut Setiausaha PAS negeri, Ustaz Musoddak Ahmad, setiap PAS kawasan akan menyediakan tidak kurang daripada 33 orang petugas sepanjang tempoh tersebut.

Jelasnya, PAS Kedah akan bertumpu kepada dua kawasan Parlimen yang teruk dilanda banjir iaitu Gua Musang dan Kuala Krai. Manakala agihan sukarelawan dari Kedah yang akan membantu kawasan parlimen Gua Musang iaitu Sik, Pendang, Padang Terap, Jerai, Merbok, Jerlun, Kubang Pasu dan Kuala Kedah.

Sementara sukarelawan daripada kawasan Kulim-Bandar Baharu, Baling, Pokok Sena, Sg Petani, Alor Setar, Langkawi dan Padang Serai pula akan membantu di parlimen Kuala Krai.

"Arahan sudah dikeluarkan kepada para petugas kawasan supaya membawa peralatan kerja seperti gergaji enjin pemotong pokok, water pump, alatan pembersihan premis dan lain-lain peralatan yang bersesuaian," katanya.

Dalam pada itu menurutnya, Pusat Pengumpulan Bantuan Untuk Mangsa Banjir anjuran PAS Kedah terus beroperasi di Kompleks PAS Kedah, Batu 9, Kota Sarang Semut.

Katanya, sehingga kini banyak sumbangan yang telah diterima, khususnya beras, air mineral, sardin, bihun, minyak masak, lampin bayi, selimut, beg sekolah dan pakaian.

"PAS Kedah juga mengalu-alukan sumbangan wang tunai. Sebarang pertanyaan berhubung bantuan banjir boleh hubungi Penyelaras Bantuan Banjir PAS Kedah, Ismail Hashim di talian 019-5515985 atau 04-7481125," jelasnya. - HARAKAHDAILY 30/12/2014

No comments:

Post a Comment