Wednesday, December 24, 2014

'Pindaan hudud tak bercanggah persetujuan Pakatan'

24 Dec 2014

Tindakan kerajaan Kelantan melakukan pindaan ke atas rang undang-undang pada 29 Disember ini tidak bercanggah dengan persetujuan dalam Pakatan Rakyat, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali

"Pada dasarnya masalah ini (perbezaan pendapat tentang hudud) sudah dipersetujui.

"Cuma sekarang, strategi dan pendekatannya adalah berbeza," kata Mustafa kepada Malaysiakini.

Menurutnya, butiran pindaan itu akan dibentangkan kepada pimpinan tertinggi PAS yang meliputi semua anggota jawatankuasa PAS pusat pada Ahad, 28 Disember ini.

"Kita akan dapat taklimat dari Kelantan pada 28 Disember ini," katanya.

Jelasnya, Pakatan perlu faham bahawa pindaan kepada Rang Undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 itu terletak dalam bidang kuasa negeri.

Ia bagaimanapun masih tertakluk kepada penelitian oleh jawatankuasa teknikal hudud di antara Kelantan dan kerajaan Persekutuan, katanya.

"Yang hendak dibentang enakmen itu adalah pindaan kepada yang awal (Kanun Jenayah Syariah (II) 1993).

"Apa pun soal (bentang di Parlimen), itu bukan negeri yang uruskan.

"Kita ada jawatankuasa teknikal, jadi jawatankuasa teknikal akan buat (sebarang) cadangan," katanya.

DAP tolong faham

Kelantan bercadang meminda rang undang-undang hudud pada sidang dewan 29 Disember ini.

Kelantan juga bercadang untuk membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan tanpa bantahan dari kerajaan Pusat.

Cadangan itu mengundang komentar dari pimpinan PKR dan DAP yang menentang langkah untuk meminda rang tersebut.

Mengulas perkara itu, Mustafa menyifatkan komen-komen tersebut sebagai salah faham berdasarkan kenyataan yang kurang tepat.

"Jadi mungkin salah faham berdasarkan kenyataan yang kurang tepat. Minta (mereka) tolong faham," katanya.

Beliau turut bersetuju dengan kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mengutamakan pelaksanaan hudud berbanding menawan Putrajaya.

"Yalah, Putrajaya pun kita belum menang lagi. Jadi yang di Kelantan ini adalah yang sudah sedia ada," katanya. 
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment