KUALA LUMPUR:
Kerajaan Negeri Selangor tidak menolak untuk membina masjid dengan ciri
kebudayaan etnik Cina sebagai memenuhi keperluan masyarakat Cina
Muslim.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Dr Ahmad
Yunus Hairi, berkata beberapa aspek perlu dikaji untuk membolehkan
kerajaan negeri memberi peruntukan bagi pembinaan sesebuah masjid, lapor
Selangor Kini.
Menurutnya, mungkin ada keperluan masyarakat Cina muslim tetapi
pembinaan itu mempunyai matlamat sebagai pusat transformasi masyarakat.
“Kita tidak menolak untuk mendirikan masjid itu bagi dijadikan pusat
lawatan dan kita ambil cadangan yang boleh kita fikirkan,” katanya dalam
sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) sebagai respons kepada cadangan Mohd
Shafie Ngah (PAS-Bangi).
Sebelum
itu, Mohd Shafie mencadangkan dibina masjid dengan ciri-ciri kebudayaan
etnik Cina bagi memenuhi keperluan penganut agama Islam daripada etnik
itu.
Beliau berkata jumlah penganut Islam dari etnik Cina di Selangor
bukan sedikit, tetapi Melaka, Johor dan Perak mendahului dalam
penyediaan kemudahan seperti itu.
Katanya, masjid yang mempunyai ciri-ciri senibina Cina itu diuruskan oleh siak, bilal dan imam yang juga merupakan Cina Muslim.
“Ia adalah penting untuk memecahkan stigma atau kefahaman bahawa Islam itu milik Melayu dan Melayu itu milik Islam,” katanya.
Beliau berkata sekiranya masjid berciri Cina itu berjaya dibina, maka
lebih ramai pelancong dalam dan luar negeri akan tertarik untuk
berkunjung ke negeri Selangor.
“Tidak cukup hanya dengan Masjid Negeri yang besar, kita perlu
melangkah ke hadapan untuk membina sebuah masjid yang berciri (Cina)
itu," katanya lagi.
Ini, ujarnya kerana bangsa Cina adalah bangsa yang perlu dihormati.
Beliau berpandangan setakat ini lokasi yang sesuai untuk pembinaan masjid itu adalah di Pulau Ketam.
No comments:
Post a Comment