Saturday, January 31, 2015

Azran sah lepas jawatan CEO AirAsia X Bhd

31 Jan 2015  Malaysiakini
AirAsia X Bhd hari ini mengesahkan Azran Osman Rani mengosongkan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, berkuatkuasa hari ini.
 
Syarikat penerbangan jarak jauh tambang rendah itu melantik Pengasas Bersama AirAsia Datuk Kamarudin Meranun sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang baru dan Benyamin Ismail sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, berkuatkuasa serta merta, sebagai sebahagian daripada penyusunan semula berterusan
syarikat.  
 
AirAsia X dalam satu kenyataan hari ini berkata dalam jawatan yang baru diwujudkan itu, Kamarudin akan menerajui pembangunan strategi bagi AirAsia X Group, yang terdiri daripada AirAsia X, AirAsia X Thailand dan Indonesia AirAsia Extra. 
 
Kamarudin dan Benyamin kedua-duanya akan menerajui penyusunan semula dan pemulihan bagi memantapkan lembaran imbangan syarikat dan memaksimumkan keuntungan bagi memastikan kedudukan kewangan yang lebih kukuh. 
 
Kamarudin berkata dengan adanya pelan ini, AirAsia X akan melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya dan mengekalkan kedudukan penerajunya dalam pasaran jarak jauh tambang rendah. 
 
Mengenai pelantikan beliau, Benyamin berkata AirAsia X akan terus berkembang ke pasaran baru bagi membina rangkaian serantau yang tiada tandingan.
 
Beliau menyertai AirAsia Bhd pada 2010, mengetuai pasukan Perhubungan Pelabur dan paling terbaharu memegang jawatan sebagai Ketua Kumpulan Pembangunan Korporat, Pelaksanaan dan Perhubungan Pelabur. 
 
- Bernama
 

No comments:

Post a Comment